Home Nasional Pembangkang gesa kerajaan segera bantu mangsa banjir di Baling

Pembangkang gesa kerajaan segera bantu mangsa banjir di Baling

Anwar Ibrahim RMK12 Twelfth Malaysia Plan
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa agar cepat bertindak dalam kejadian banjir di Baling, Kedah.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gesaan itu dibuat bagi memastikan episod duka akibat banjir tidak berulang.

“Saya gesa tindakan pantas diambil bagi membantu mereka yang terkesan.

“Usah ulangi episod lalu di mana kerajaan gagal berfungsi dan lambat menyampaikan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lewat petang semalam, hujan lebat selama tiga jam telah menyebabkan berlakunya insiden kepala air serta banjir membabitkan  11 kampung di daerah Baling.

Antara kampung terlibat ialah Kampung Bendang Padang, Kampung Iboi, Kampung Padang Ampang, Kampung Tok Saba, Kampung Hangus, Kampung Pisang, Kampung Sadik, Kampung Kitang, Kampung Tanjung, Kampung Lata Celak dan Kampung Badak Ampang.

Tragedi itu turut menyebabkan tiga sekeluarga dilaporkan hilang dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air dan banjir di Kampung Iboi.

Disember tahun lalu, Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan anggota Jemaah Menteri mengadakan satu sidang khas Parlimen bagi memberi penjelasan penuh berhubung dakwaan “kegagalan” mengurus bencana banjir yang melanda negara ketika itu. – MalaysiaGazette