Home Nasional Penguat kuasa JPJ nafi terima rasuah RM8,500

Penguat kuasa JPJ nafi terima rasuah RM8,500

Ahmad Jamil Md Saru menutup muka ketika memasuki dibawa untuk pertuduhan di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini.

MELAKA – Seorang pembantu penguat kuasa kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh di sini, hari ini atas 12 pertuduhan menerima rasuah bernilai RM8,500 sejak dua tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Jamil Md Saru, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut kesemua 10 pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Pembantu Penguat Kuasa Kanan JPJ Gred KP22 didakwa memperoleh suapan masing-masing berjumlah RM500 setiap bulan daripada Pengurus Syarikat Sivan Sakthi Maju Enterprise P Vijayan yang diketahui mempunyai hubungan kerja-kerja rasmi dengannya.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap lori-lori milik syarikat pengangkutan itu di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Maybank Merlimau, Jasin antara 28 April 2020 hingga 31 Mac 2021 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,500 bagi tujuan sama di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Kesalahan itu dilakukan di Maybank Cawangan Melaka Raya antara 28 April 2020 hingga 12 Mac 2021.

Jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat terdahulu mencadangkan jaminan sebanyak RM4,500 dengan mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan tertuduh.

Irwan Shah turut memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, selain melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM Melaka.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun merayu jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan tertuduh perlu menyara dua anak termasuk seorang anak orang kurang upaya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dan bersetuju dengan semua syarat tambahan.

Beliau turut menetapkan tarikh 15 September ini bagi sebutan semula dan serahan dokumen serta lantikan peguam. – MalaysiaGazette