Home Nasional Permudahkan pinjaman koperasi elak bekalan makanan berkurangan – Noh

Permudahkan pinjaman koperasi elak bekalan makanan berkurangan – Noh

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad (kanan) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada penerima daripada jabatan kerajaan pada Majlis Apresiasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Tahun 2022 di Kompleks Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK), Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 05 JULAI 2022.

PUTRAJAYA – Koperasi yang terlibat dengan aktiviti agromakanan dan mahu menambah modal membesarkan projek boleh membuat permohonan pinjaman dengan Tabung Modal Pusingan bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya akan permudahkan proses pinjaman itu sekarang bagi memastikan bekalan makanan negara tidak berkurangan.

Katanya, setakat ini, Tabung Modal Pusingan itu mempunyai dana kira-kira RM400 juta dan akan ditambah lagi RM100 juta dalam masa terdekat selepas mengadakan persetujuan Kementerian Kewangan.

“Kita letakkan peruntukan ini bawah SKM kerana kita tidak mahu menyusahkan koperasi membuat pinjaman melalui bank yang perlu diletakkan cagaran seperti tanah dan sebagainya.

“Kita tidak boleh salahkan bank kalau mereka mengenakan syarat itu sebab mereka mengikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia.

“Oleh itu, bagi memudahkan pinjaman dibuat dan memastikan bekalan makanan mencukupi, kita letak tabung ini bawah SKM,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi KUSKOP Tahun 2022 di Dewan MAKSAK di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurut Noh, peruntukan menerusi tabung itu hanya diberikan keutamaan kepada koperasi yang mengusahakan agromakanan.

“Koperasi yang sedangkan menjalankan projek ternakan ayam atau sayur-sayuran dan hendak memperbesarkan modal, mereka layak membuat pinjaman dengan SKM.

“Katakanlah koperasi itu mengusahakan 10 reban ayam dan mereka nak tambah lagi lima reban, mereka boleh mohon pinjaman tanpa sebarang cagaran.

“Sebelum ini, untuk pinjaman pertama, mereka pinjam melalui bank dan perlu meletakkan geran tanah yang diusahakan itu sebagai cagaran, tetapi dengan SKM ini, semua itu tidak perlu,” katanya lagi.

Noh berharap SKM akan permudahkan pinjaman itu kerana kerajaan yakin koperasi yang sedang menjalankan aktiviti agromakanan ini dapat mengembangkan lagi aktiviti mereka.

Lebih lagi sekarang, katanya, negara mengharapkan supaya agromakanan ini perlu dipertingkatkan untuk membantu produk makanan dalam pasaran.

“Oleh itu, mereka sudah boleh mohon sekarang sebab SKM memang dah ada peruntukan bawah Tabung Modal Pusingan cuma saya bimbang dana yang ada itu tidak mencukupi, sebab itu kita nak minta tambah lagi RM100 juta dengan Kementerian Kewangan,” katanya. – MalaysiaGazette