KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur memberi jaminan akan melaksanakan pemeriksaan di semua premis pembungkusan semula minyak masak paket yang beroperasi secara berkala.
Pengarahnya, Ariffin Samsudin berkata, penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan di 16 buah premis pembungkusan semula di ibu negara setiap hari bagi mendapatkan status sebenar jumlah minyak masak paket yang diterima dan kemudian dijual semula.
Malah pihaknya juga menjalankan risikan untuk memastikan minyak yang dijual kepada pemborong tidak diseleweng, katanya.
“KPDNHEP tidak akan pernah diam, kami akan buat risikan dan intipan ikut pembeli minyak dari pembungkus. Kita ada anggota yang buat samaran yang mengekori mereka untuk tahu sama ada dijual semula atau tidak.
“Apa yang saya nak tekankan, KPDNHEP yang ada unit bekalan, kita akan kawal selia premis pembungkusan semula minyak pada setiap hari. Pemantauan memang kita buat kalau di Kuala Lumpur ini saya berani beri jaminan sebab setiap hari ada pemantauan premis pembungkusan semula,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pemeriksaan keberadaan bekalan minyak di salah satu premis pembungkusan semula yang terletak di Bandar Tun Razak hari ini.
Pemeriksaan berkenaan selaras dengan pengumuman pelaksanaan operasi pengauditan dan pemutihan minyak masak paket bersubsidi.
Pengauditan berkenaan meliputi 22 pengeluar dan 305 premis pembungkusan semula di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Ariffin berkata, selain daripada pengauditan dan pemeriksaan, KPDNHEP juga menerima laporan harian daripada premis pembungkusan semula yang memperincikan aliran keluar masuk minyak masak bersubsidi untuk kegunaan jualan di pasaran.- MalaysiaGazette