Home Ekonomi TEKUN salur RM515.9 juta kepada usahawan dalam tempoh lima bulan – Noh

TEKUN salur RM515.9 juta kepada usahawan dalam tempoh lima bulan – Noh

Noh Omar bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad (kanan) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada penerima daripada jabatan kerajaan pada Majlis Apresiasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Tahun 2022 di Kompleks Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK), Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 05 JULAI 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensi dan jabatannya memperhebatkan pelbagai inisiatif bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara berterusan kepada usahawan.

TEKUN Nasional, contohnya, telah menyalurkan sebanyak RM515.9 juta kepada 45,293 usahawan informal dan mikro di seluruh negara bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Agensi itu juga turut menyalurkan geran bernilai RM50 juta sebagai inisiatif Geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM), kata Menterinya, Tan Sri Noh Omar

“Geran ini disasarkan kepada peniaga informal dan mikro yang premis mereka terjejas dengan banjir pada awal tahun 2022 dan terbuka kepada warganegara tanpa mengira kaum.

“Geran BBKM ini diberikan secara one-off bernilai RM3,000 seorang dan tidak perlu dibayar balik melibatkan seramai 15,562 usahawan informal dan mikro yang premis mereka terjejas dengan banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Apresiasi KUSKOP Tahun 2022 di Dewan MAKSAK di sini, hari ini.

Seramai 225 pegawai dan kakitangan pelbagai jawatan menerima sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Menurut beliau, di bawah Program Dana Kecemasan PKS (SMEEF) oleh SME Corp. Malaysia pula sebanyak 280 permohonan dengan nilai RM26.83 juta telah diluluskan.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM12.66 juta telahpun disalurkan kepada 131 PKS yang terjejas akibat banjir atau bencana alam yang lain.

“Penyaluran Bantuan SMEEF 2.0 kepada PKS yang terjejas ini sentiasa berterusan sepanjang tahun dan disegerakan bagi membantu mereka dalam keadaan terdesak,” katanya.

Noh berkata, tahun ini juga menyaksikan tahun ke-100 koperasi dilancarkan dalam usaha menggerakkan pembangunan sektor koperasi di negara ini dan terdapat pelbagai lakaran sejarah serta peristiwa penting telah dialami oleh gerakan koperasi di Malaysia.

Antaranya, kata beliau, penubuhan dan transformasi Maktab Koperasi Malaysia kepada Institut Koperasi Malaysia, pengiktirafan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sebagai badan yang mewakili gerakan koperasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta penubuhan institusi perbankan Islam koperasi patuh syariah yang pertama iaitu Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat).

Katanya, banyak kejayaan telah dicipta hasil daripada penubuhan pelbagai koperasi itu.

“Hasilnya, sehingga 31 Disember 2021, terdapat sebanyak 14,834 koperasi dengan keanggotaan seramai 7.07 juta orang, manakala jumlah modal syer atau yuran dan aset koperasi masing-masing mencatatkan RM16.54 bilion dan RM154.98 bilion.

“Bagi sumbangan perolehan koperasi kepada pendapatan negara adalah RM37.89 bilion.

“Kita dapat melihat sektor koperasi ini merupakan platform terbaik untuk membangunkan tahap pendapatan dan sosio-ekonomi Keluarga Malaysia,” kata beliau.

Kata beliau lagi, pada 28 Mac lalu juga menandakan satu detik bersejarah apabila Institut Koperasi Malaysia (IKMa) melalui anak syarikatnya MKM Global Holding Sdn. Bhd. Berjaya memperoleh kelulusan bagi penubuhan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).

“Ia kini dinamakan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), yang mana penubuhan itu penting untuk melahirkan pengurusan profesional dan kompeten dalam keusahawanan koperasi seiring dengan keperluan koperasi semasa.

“Kejayaan yang dikecapi ini adalah berkat usaha warga KUSKOP dan agensi yang bekerja keras demi melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan untuk rakyat.

“Kejayaan ini juga tidak mungkin akan dapat diperolehi tanpa adanya usaha dan pengorbanan dari segi masa dan tenaga daripada mereka,” katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, beliau menyatakan penghargaannya ke atas pengorbanan pegawai dan semua warga KUSKOP yang sentiasa komited dalam melakari kecemerlangan perkhidmatan demi kejayaan diri, organisasi, bangsa dan negara.

“Saya merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KUSKOP tahun 2021 yang diraikan pada hari ini.

“Semoga dengan pengiktirafan ini akan membangkitkan lagi semangat mereka untuk mencurahkan bakti kepada negara dan meningkatkan azam untuk bertugas dengan lebih gigih dan penuh iltizam pada masa akan datang bagi menaikkan imej KUSKOP.

“Saya juga ingin mengucapkan selamat menjalani hidup baru bagi mereka yang bersara. Bagi pihak kerajaan, saya merakamkan ucapan penghargaan atas sumbangan anda kepada perkhidmatan dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette