KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS)menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan berada di lebuh raya setiap hari semasa musim cuti Aidiladha ini berbanding 1.8 juta kenderaan sehari pada hari biasa.
Oleh itu, para pengguna lebuh raya diminta menjangkakan biasa. kesesakan dan tempoh perjalanan yang lebih panjang pada hari-hari puncak tersebut.
Sebagai persediaan, Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi meminta pengguna lebuh raya itu mengikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA), merancang perjalanan lebih awal, serta membuat persiapan yang diperlukan untuk menghadapi perjalanan yang lebih panjang.
Menurutnya, TTA dikeluarkan berdasarkan data trafik sebagai panduan serta membantu pengguna lebuh raya menikmati pengalaman perjalanan yang lebih terurus dalam tempoh perayaan akan datang.
Ia bermatlamat untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kenderaan daripada memasuki lebuh raya secara serentak dan terkumpul serentak di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat, sekaligus mengurangkan kesesakan.
Berdasarkan TTA perjalanan balik kampung dari Lembah Klang (pada 7 Julai hingga 10 Julai 2022), pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.
Sementara itu, bagi mereka yang menuju ke lokasi yang lebih dekat atau ke negeri-negeri lain dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya selepas jam 1petang.
Manakala cadangan TTA pulang ke Lembah Klang (pada 10 Julai hingga 12 Julai 2022) dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan lain-lain negeri, pengguna lebuh raya pula dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi.
“Berdasarkan kajian kami bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang, pengguna lebuh raya dijangka mengalami tempoh perjalanan dua kali lebih panjang berbanding perjalanan biasa sekiranya mereka memilih untuk tidak mematuhi jadual TTA ini,” kata Zakaria.
Dalam pada itu, pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi T witter @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara.
Aplikasi PLUS, yang boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store bagi peranti android atau App Store untuk pengguna iPhone, turut membolehkan pengguna merancang perjalanan mereka dengan melihat sendiri paparan kamera CCTV keadaan trafik di lokasi-lokasi kritikal di lebuh raya, menyediakan kalkulator tol untuk memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat bayaran tol untuk perjalanan mereka atau berinteraksi dengan PUTRI, chatbot pertama industri lebuh raya untuk mendapatkan pelbagai maklumat tentang PLUS.
Pengguna lebuh raya juga digalakkan untuk menggunakan aplikasi Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan mereka dan pastikan mempunyai baki yang mencukupi dalam kad Touch ‘n Go, atau e-Wallet untuk transaksi tol dengan pilihan pembayaran sama ada menggunakan kad Touch ‘n Go, SmartTAG atau RFID.
Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan agar memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan yang baik dan selamat untuk perjalanan yang jauh. -MalaysiaGazette