Thursday, September 26, 2024
Home Seni Hidup Bob Tutupoly meninggal dunia

Bob Tutupoly meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Penyanyi Indonesia yang terkenal dengan lagu Widuri, Bob Tutupoly meninggal dunia di Hospital Mayapada, Jakarta awal pagi tadi pada usia 82 tahun.

Pengamat muzik terkenal negara seberang,  Stanley Tulung mengesahkan pemergian Bob menerusi Facebook miliknya.

Stanley yang juga teman rapat Bob turut menyampaikan khabar pemergian penyanyi legenda itu, disertai foto bersamanya.

Sejak kebelakangan ini, Bob kerap berdepan masalah kesihatan dan sering berulang alik ke hospital untuk menjalani rawatan.

Bob dilahirkan di Surabaya pada 13 November 1939. Sepanjang hayatnya, lelaki berasal Ambon, Maluku itu tidak hanya dikenali sebagai penyanyi malah pernah menjadi hos dalam program kuiz di televisyen serta seorang pengacara majlis.

Jasadnya kini ditempatkan di Rumah Duka, Hospital Siloam, Semanggi, Jakarta.

Beberapa bulan lalu, sejumlah artis dan selebriti sempat menjenguk Bob yang ketika itu sudah dalam keadaan duduk di kerusi roda.

Antara rakan industri yang pernah menziarahinya untuk memberi semangat ialah Tantowi Yahya dan Yuni Shara.

Bob meninggalkan isteri dan seorang anak. – Agensi