Home Utama CAP pertahan aktiviti pembalakan, projek Musang King punca banjir di Baling

CAP pertahan aktiviti pembalakan, projek Musang King punca banjir di Baling

Keadaan selepas insiden kepala air dan banjir di Kampung Iboi, Baling Kedah

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meluahkan rasa kecewa terhadap Kerajaan Negeri Kedah yang didakwa gagal menangani aktiviti pembalakan dan projek durian musang king di Gunung Inas di Baling, Kedah hingga menyebabkan bencana banjir lumpur, kelmarin.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, sebelum ini, pihaknya sudah beberapa kali menggesa kerajaan negeri, Jabatan Perhutanan Negeri dan Pejabat Daerah Baling supaya mengambil tindakan bagi mengatasi masalah itu.

“CAP amat kecewa dengan kejadian terbaharu berkenaan hingga menyebabkan ratusan penduduk di sebanyak 12 kampung menerima akibatnya.

“Selain membantu mangsa yang terbabit membina semula rumah mereka serta membayar pampasan setimpal dengan kerugian yang dialami akibat kemusnahan harta benda.

“CAP turut menggesa kerajaan memulihkan tanah pertanian terancam kerana ia adalah sumber pendapatan utama penduduk di sini, ” katanya menerusi kenyataan media di sini.

Mohideen Abdul Kader

Mengulas lanjut Mohideen berkata, tinjauan CAp sebelum ini mendapati penduduk yang terbabit bukan sahaja terpaksa menggunakan bekalan air tercemar dengan lumpur dari Gunung Inas tetapi juga terjejas sumber pendapatan kerana banyak tanah pertanian di kampung mereka tidak boleh diusahakan akibat ancaman lumpur.

“CAP percaya dan bimbang jika tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak kerajaan, penduduk terbabit sudah pasti sentiasa dalam ketakutan terutama pada musim hujan kerana dikhuatiri masalah serupa mungkin berulang.

“Sehubungan itu CAP menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan segera dan berkesan supaya kejadian itu tidak berulang,” jelas beliau.

MalaysiaGazette semalam melaporkan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor menyifatkan tidak adil untuk menunding jari terhadap pengusaha ladang durian Musang King di Gunung Inas berhubung fenomena kepala air yang berlaku hingga menjejaskan beberapa kawasan sekitar Mukim Kupang.

Jelas beliau, aliran air hujan yang terkumpul di aluran gunung terbabit menjadi penyebab utama kepada kejadian kepala air serta banjir lumpur di 12 kampung berhampiran. – MalaysiaGazette