BALING – Jenazah tiga mangsa banjir bersama janin berusia empat bulan yang terkorban dalam bencana itu yang berlaku di daerah ini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Charuk Bemban Dalam di sini kira-kira pukul 5.30 pagi tadi.
Jenazah ibu yang hamil empat bulan, Nurul Anis Abu Hassan, 23, bersama janinnya serta ibu mentuanya yang lumpuh Salmah Mat Akib, 53, dan adik iparnya Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, tiba di pekarangan Surau Al-Istiqamah, Kampung Charuk Bemban Dalam pada 4.25 pagi.
Jenazah janin itu didukung bapanya Muhammad Khairul Asyraf Nor Azman, 24, sebelum dibawa masuk ke dalam surau untuk disolatkan.
Bernama sebelum ini melaporkan tiga maut termasuk ibu hamil empat bulan selepas rumah mereka dihanyutkan air dalam tragedi banjir dan kepala air di Kampung Iboi dekat sini Isnin lepas.
Mayat Nurul Anis dan ibu mentuanya yang lumpuh itu ditemukan dalam keadaan berpelukan di bawah timbunan pokok kira-kira 100 meter dari tapak rumah mereka yang dihanyutkan itu kira-kira pukul 9.30 pagi semalam.