KUALA LUMPUR – Sayap bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memperkukuhkan perjuangan kaum India dan Cina agar mendapat hak sama rata dengan pribumi dan bumiputera.
Ketua Penerangan Sayap Bersetuju Bersatu Malaysia, S. Gobi Krishnan berkata, setakat ini hanya parti itu yang benar-benar berjuang memastikan hak kedua kaum berkenaan menjadi kenyataan.
Katanya, menerusi Program Pemukiman Penerangan Bersatu Malaysia baru-baru ini, kaum minoriti itu telah membangkitkan isu yang melanda mereka seperti peluang perniagaan, pendidikan, pemilikan tanah, isu perumahan B40 dan kewarganegaraan.
“Nampaknya, usaha yang dilakukan oleh Sayap Bersekutu Bersatu ini untuk mengupayakan kaum India dan Cina mendapat sokongan padu di semua peringkat bahagian.
“Penerimaan bahagian Bersatu terhadap isu ini amat baik, malah ada bahagian turut mencadangkan jalan penyelesaian terutama berkaitan isu kewarganegaraan serta pendidikan untuk kaum India khasnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Program pemukiman itu berlangsung selama tiga hari dari 1 hingga 3 Julai lalu, yang turut menyaksikan penyertaan Sayap Bersekutu Bersatu Bahagian dan pasukan Penerangan Sayap Bersekutu Nasional.
Menurut S. Gobi, ini menunjukkan pemimpin akar umbi Bersatu ikhlas memperjuangkan kaum minoriti, walaupun Bersatu asalnya parti yang hanya memperjuangkan pribumi dan bumiputera.
“Inilah tarikan utama Bersatu, kami merasakan seperti kembali ke zaman pra kemerdekaan, yang mana pemimpin Melayu bersama pemimpin Cina dan India berbangga dengan identiti diri sendiri.
“Kami sebenarnya, mampu berganding bahu dan bekerja bersama demi mencapai matlamat sebuah negara yang berbilang kaum dalam erti kata sebenar.
“Ini menyebabkan kami dari sayap bersekutu Bersatu bawah pimpinan Datuk Seri Dr. Santhara Kumar bertambah yakin untuk memperjuangkan kaum masing-masing melalui wadah perjuangan Bersatu yang inklusif,” katanya. – MalaysiaGazette