Home Ekonomi Pusat hab halal beroperasi di Batu Pahat tahun depan – Azizah

Pusat hab halal beroperasi di Batu Pahat tahun depan – Azizah

Azizah (tengah ) mendengar taklimat daripada salah kakitangan MARA dalam lawatannya ke Pasir Gudang hari ini.

JOHOR BAHRU – Sebuah pusat hab halal di Parit Sulong, Batu Pahat dengan kos RM12 juta akan dibangunkan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Ia dijangka akan memulakan pengoperasiannya pada awal tahun depan, kata Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun.

Menurutnya, dengan adanya fasiliti ini, kapasiti produk usahawan dapat dipertingkatkan dan sekaligus memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

MARA Negeri Johor juga telah menerima peruntukan sebanyak RM30 juta pada tahun ini dengan penerima manfaat seramai 2,000 orang usahawan, katanya.

“MARA turut menjangkakan lebih ramai usahawan yang akan memohon kemudahan yang ditawarkan dalam fasa pemulihan ekonomi selepas berlakunya pandemik.

“Selain itu, MARA juga menyediakan kemudahan Skim Pembiayaan Perniagaan dan penyewaan premis perniagaan, termasuk khidmat nasihat kepada usahawan yang memerlukan panduan untuk memulakan perniagaan,” katanya.

Beliau memberitahu perkara itu selepas melawat premis usahawan MARA iaitu AKG Autoworks di Kawasan Industri Ekoperniagaan, Kota Masai, Pasir Gudang dekat sini hari ini.

AKG Autoworks merupakan usahawan bimbingan MARA yang  turut diterajui oleh usahawan wanita dan merupakan pemegang saham terbesar dalam syarikat berkenaan.

Selain itu, Azizah juga berkesempatan menghadiri sesi libat urus bersama 50 orang usahawan MARA yang terlibat dalam pelbagai kluster perniagaan seperti Perkhidmatan Berteknologi Tinggi, Automotif, Pembinaan, Lifestyle & Wellness dan Food & Beverages.

Dalam sesi yang sama, beliau menyampaikan kemudahan program Gate to Global (bagi produk usahawan yang berpotensi untuk menembusi pasaran luar negara) iaitu syarikat We1 Manufacturing (M) Sdn. Bhd., Hsrich Global Sdn. Bhd. Irma Ariandi Global Sdn. Bhd. dan Jalen Sdn. Bhd.

Manakala bagi penyampaian Skim Pembiayaan Perniagaan MARA, seramai empat orang usahawan menerima kemudahan berjumlah RM785,000.

Hadir sama dalam delegasi lawatan kerja ialah adalah Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Zulfikri Osman dan Pengarah MARA Negeri Johor, Nor Uyon Shoib.

Tambah beliau, pembukaan sempadan negara sejak April lalu memberikan nafas baharu kepada usahawan di Johor khususnya di bawah bimbingan MARA.

Ini merupakan satu lembaran baharu kepada usahawan MARA Johor selepas pendapatan perniagaan mereka terkesan dan terpaksa berhadapan situasi genting akibat penutupan sempadan sejak awal tahun 2020.

“Melalui kemudahan Skim Pembiayaan Perniagaan DanaNITA yang disalurkan pada tahun ini, seramai 78 orang usahawan wanita di Johor telah menerima manfaat kemudahan tersebut dan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.7 juta.

“Bagi terus melestarikan program pemerkasaan wanita, MARA maju setapak lagi dengan penubuhan Centre for Women Advancement and Leadership (CWAL) Universiti Kuala Lumpur (UniKL)

“CWAL UniKL bermatlamat sebagai pusat yang mempromosi idea komprehensif dan inovatif serta melaksanakan inisiatif berimpak tinggi di samping mewujudkan jaringan kerjasama peringkat antarabangsa.

“MARA Negeri Johor juga optimis lebih ramai usahawan dapat dilatih dan menerima manfaat melalui peruntukan Program Keusahawanan Tahun 2022 iaitu Program Latihan Keusahawanan, Program Pensijilan seperti Halal, GMP, HACCP dan Program Pendigitalan,” katanya.- MalaysiaGazette