KUALA LUMPUR – Pelakon, Puteri Sarah mungkin akan mempertimbangkan sekiranya orang ketiga yang didakwa mengganggu rumah tangganya dengan pengarah, Syamsul Yusof mahu menjadi madunya.
Namun wanita berusia 37 tahun itu berkata, ia dengan syarat individu itu hadir dengan secara baik dan memohon maaf serta minta izin untuk menjadi isteri nombor dua.
“Jika awal-awal dia (orang ketiga) berbuat sedemikian, saya mungkin marah tetapi akan juga mempertimbangkan.
“Tetapi, dia pula awal-awal mendera mental dan emosi kemudiannya menyerang ibu mentua saya. Apabila ibu mentua menyekatnya, dia kacau pula adik-adik Syamsul. Apa benda?” soalnya.
Puteri Sarah menjawab soalan diutarakan oleh pelakon, Nad Zainal menerusi sesi Instagram (IG) LiveĀ hari ini.
Puteri Sarah sebelum ini memfailkan tindakan saman di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di pejabat agama terhadap wanita dikenali sebagai Ira Kazar yang didakwa kekasih suaminya.
Menerusi sesi IG Live sekitar 24 minit itu, Puteri Sarah dalam perjalanan pulang dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut menjelaskan tujuannya mengambil tindakan undang-undang.
“Sekarang, orang mempertikaikan tindakan saya nak saman. Tujuan saya bukan nak ambil suami semula, itu mungkin berlaku empat tahun lalu.
“Apa yang dilakukan demi menuntut hak saya dan anak-anak. Sekarang, saya hanya fikir anak-anak sahaja.
“Saya buat dua tuntutan iaitu mengganggu ketenteraman saya sebagai kes civil. Saya laporkan kepada JAWI dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana gangguan rumah tangga dan dikategorikan sebagai jenayah.
“Saya harap semua orang doakan perkara ini jatuh sebagai kes jenayah,” katanya lagi.
Pada masa sama, Puteri Sarah menegaskan, dia tidak menghalang poligami dan memohon kaum lelaki memahami ajaran agama Islam sebelum menyatakan lelaki boleh berkahwin empat.
“Ada orang anggap saya menghalang poligami. Kita kena faham satu perkara, Rasulullah SAW berkahwin lain selepas Siti Khadijah wafat bukan ketika isterinya masih hidup. Rasulullah SAW juga tidak suka anaknya Fatimah dimadukan.
“Jadi, buat kaum lelaki nak berpoligami, cari bakal isteri baik daripada keturunan yang baik-baik,” katanya.
Terdahulu, peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah memaklumkan wanita yang didakwa kekasih Syamsul diarah memasukkan pernyataan pembelaan terhadap tuntutan saman dikemukakan Puteri Sarah dalam tempoh sebulan bermula 4 Julai lalu.
Mahkamah menetapkan 23 Ogos depan untuk pengurusan kes seterusnya. – MalaysiaGazette