Home Utama Sempat minta maaf sehari sebelum dibunuh

Sempat minta maaf sehari sebelum dibunuh

Mohamed Hisham Md Dom.

MELAKA – “Malam sebelum kejadian, adik sempat minta maaf kepada ibu tiri dengan mengatakan nyawa manusia ini mudah reput dan tak sangka rupanya dia akan pergi meninggalkan kami selama-lamanya.”

Itu dikongsikan Mohamed Hisham Md Dom, 54, adik kepada Rozizah Md Dom, 63, yang maut dipercayai ditikam anaknya sendiri di rumah mereka di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu petang semalam.

Menurut Mohamed,  itu kenangan terakhir bersama kakaknya  yang ditemui pada malam Isnin lalu ketika menziarahinya dan menikmati makan malam bersama beberapa ahli keluarga yang lain termasuk ibunya Jumi Md Som, 73, yang juga ibu tiri mangsa.

“Sebelum balik, tiba-tiba dia bersalaman ibu sambil mengucapkan ‘maaf zahir dan batin’ seolah-olah tahu ajalnya sudah semakin hampir sedangkan sebelum itu dia tidak pernah bergurau sedemikian.

“Dia juga sempat cakap ‘nyawa kita ini reput, mudah pergi pada bila-bila masa’ dan hari ini baharulah saya faham maksud kata-katanya itu,” katanya ketika ditemui di rumah kakaknya itu di sini hari ini.

Keadaan rumah mangsa dipenuhi ahli keluarga yang menanti jenazah sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tangga Batu, lewat petang ini.

Mengulas lanjut, Mohamed yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, kejadian yang berlaku amat mengejutkan mereka sekeluarga namun reda dengan ketentuan tuhan.

“Seluruh ahli keluarga terkejut sebab anak sulungnya itu seorang lelaki yang sangat baik dan amat menjaga pertuturan dengan orang yang lebih tua.

“Tak tahu apakah puncanya sanggup bertindak sedemikian kerana arwah yang baharu kematian suami Jun lalu memang tidak pernah bercerita sebarang masalah dalam keluarga yang dihadapi sebelum ini,” katanya lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi (dua dari kanan) turut meluangkan masa melawat keluarga mangsa di Melaka hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang ibu tunggal, Rozizah Md. Dom, 63, ditikam anak sulungnya berusia 38 tahun dengan dua kesan tikaman dileher dalam kejadian di rumah mereka kira-kira pukul 3 petang.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah dilaporkan berkata, suspek ditahan di rumahnya selepas polis mendapat aduan daripada penduduk kampung.

Tambahnya, suspek bertindak demikian menggunakan pisau sepanjang 26 sentimeter selepas terdengar satu bisikan mengatakan ibunya menyembah berhala.

Menurutnya, selepas menikam ibunya, lelaki berkenaan yang mempunyai rekod kesihatan mental dan dua kesalahan dadah sempat menghulurkan pisau berkenaan kepada ibunya yang kemudian bertindak membuang senjata tajam itu melalui tingkap.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ibu maut ditikam anak sendiri