KUALA LUMPUR – Tanggapan negatif terhadap Islam merupakan satu cabaran dalam mendidik saudara baharu agar tidak kembali kepada pegangan asal agama yang dianuti sebelum itu.
Perkara tersebut diakui Penasihat Hidayah Centre Foundation Bandar Tun Razak, Ummi Kalthom Hassan yang memberitahu, saudara-saudara baharu perlu didekati supaya mereka tidak sepi dalam mencari agama.
Katanya, mereka juga tidak boleh dibiarkan bersendirian dan tunjuk ajar secara istiqamah (berterusan) harus diberi kerana ia merupakan usaha yang sebaik-baiknya.
Tanggungjawab untuk menyemat sinar Islam ke dalam sanubari saudara baharu itu dilakukan dengan sebaik mungkin oleh Hidayah Centre Foundation Bandar Tun Razak yang telah berjaya mensyahadahkan kira-kira 120 orang sejak mula beroperasi pada 2012.
“Kita terima banyak maklum balas…satu kita dengar saudara baharu mereka pergi kepada tempat lain mereka rasa sangat terpinggir…satunya kerana suasana pembelajaran yang mungkin disebabkan tiada hubungkait dengan perasaan kasih sayang ditempat-tempat berkenaan.
“Di sini bila kita dapat panggilan atau mereka kenal kita menerusi laman sosial kita memang pastikan dia datang bertemu muka di sini dan kita tawarkan dia kelas-kelas yang ada,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas Program MG Prihatin di sini, hari ini.
Menurut Ummi Kalthom, Hidayah Centre Foundation memberikan fokus kepada golongan mualaf dengan kaedah memperbetul perspektif mereka terhadap Islam sebagai Ad-Din iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada keburukan.
Katanya, bermula dengan melihat perkara-perkara asas seperti mengajar tentang solat dan membaca al-Quran, ia merupakan langkah pertama yang perlu diambil perhatian untuk dijadikan amalan harian agar menjadi seorang Muslim yang sempurna.
Tambahnya, disebabkan itu pusat berkenaan diatur dengan tiga peringkat pembelajaran dengan setiap peringkat mereka perlu menghadiri kelas selama enam bulan.
“Di sini kita ada tiga level (peringkat), mula-mula mereka kena mengikuti enam bulan kelas asas, kemudian enam bulan kelas pertengahan dan lagi enam bulan kita buat kelas lanjutan.
“Mereka yang graduat daripada tiga semester tadi kita akan tawarkan majlis mingguan iaitu ilmu dipanggil usrah. Itu yang orang sentiasa berhubung dengan kita sebab dia kena rasa macam satu keluarga dimana mereka kenal ramai saudara-saudara baharu. Jadi dia tak rasa terpinggir,” ujarnya.
Menceritakan lanjut, Ummi Kalthom berkata, pusat berkenaan bukanlah pusat bantuan seperti Baitulmal.
Katanya, ia tidak memberi sumbangan dalam bentuk kewangan sebaliknya, mencurah ilmu berkaitan Islam dan mengajar mereka mengenai agama yang sebenar.
Tambah beliau, mereka yang dididik di pusat itu bukan sahaja diberi bimbingan agama dalam kelas tetapi, mereka turut akan dilibatkan dengan aktiviti-aktiviti luar seperti bersukan dan sebagainya.
Dalam pada itu Ummi kalthom berharap agar saudara baharu mendaftar dengan pusat bimbingan bertauliah seperti Hidayah Centre Foundation sekiranya mereka mahu mempelajari ilmu-ilmu berkaitan Islam.
Ini kerana beliau berkata, masalah yang sering timbul dan dihadapi oleh golongan mualaf adalah mereka sering menerima berhadapan dengan salah faham terhadap satu perkara berkakitan agama dan sebagainya.
Katanya, ada juga saudara baharu yang akhirnya kecewa kerana tidak bertemu dengan tempat yang betul untuk mempelajari Islam dan ia merupakan satu perkara yang sangat dikhuatiri.
“Jadi, untuk saudara baharu tolonglah cari tempat betul jika mahu tahu lebih lanjut berkenaan Islam.
“Teruskan pencarian itu sehingga mereka rasa tempat itu sangat selesa untuk tingkatkan keimanan terhadap Islam…jangan putus asa,” tambahya. – MalaysiaGazette