Home Politik Tindakan Rafizi pertikai audit forensik angkuh

Tindakan Rafizi pertikai audit forensik angkuh

Temubual ekslusif SkopMG bersama Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli di Studio MG, Sungai Besi, Kuala Lumpur. . Foto MUHD NA'IM, 01 APRIL 2022.
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Tindakan bakal Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang mempertikaikan keperluan audit forensik terhadap keputusan pemilihan parti adalah angkuh dan sombong.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Syed Badli Shah Syed Osman mendakwa kenyataan Rafizi itu turut memperlekehkan kewibawaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tuduhan kononnya terdapat segelintir mereka yang berada dekat dengan presiden sedang berusaha untuk menghalang keputusan itu daripada diumumkan.

Menurutnya, pada 15 Mei 2022, Rafizi sendiri mengeluarkan satu kenyataan mengakui terdapat masalah teknikal terhadap proses pemilihan parti yang sedang berlangsung.

Secara tak langsung beliau memberi gambaran bahawa proses pemilihan parti perlu diperkemaskan supaya dilihat lebih telus dan adil.

Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dalam satu kenyataan turut mengesahkan terdapat cubaan menggodam keputusan parti.

”Tetapi kenapa sekarang Rafizi membangkitkan seolah-olah audit forensik yang sedang dijalankan ini sebagai usaha untuk menghalang beliau dari menjawat jawatan timbalan presiden?

”Apakah beliau sebenarnya khuatir yang kemenangan beliau akan terjejas jika kepincangan kepada proses pemilihan ini dapat dibuktikan?,” soalnya.

Syed Badli berkata, sebenarnya tiada keperluan untuk parti dilihat terlalu tergesa-gesa mengumumkan kemenangan Rafizi sedangkan terdapat lebih 1,800 bantahan daripada akar umbi yang mempertikaikan ketelusan pemilihan parti.

Rafizi seharusnya meraikan proses audit forensik terhadap keputusan pemilihan dan bukannya menuding jari kearah pihak lain seolah-olah terdapat usaha untuk menyekat kemenangan beliau.

Katanya, bagi menghadapi pilihanraya akan menjelang pada bila-bila masa, barisan kepimpinan parti perlulah dibentuk seberapa segera dengan meletakkan mereka yang benar-benar layak dipilih dan bukannya mereka yang dipilih kerana manipulasi dan penipuan.

”Justeru itu saya ingin menasihatkan Rafizi untuk tidak terlalu obses demi mengejar jawatan sebaliknya jika beliau terbukti dipilih oleh akar umbi, biarlah kemenangan itu sebagai kemenangan yang telus dan adil,” tambahnya yang menggesa audit forensik diadakan secara menyeluruh terhadap keputusan pemilihan termasuk undi atas talian.

Jelasnya, keputusan itu juga mesti dibentangkan secara telus demi menjamin kewibawaan parti dalam mempersiap-siagakan jentera demi menghadapi pilihan raya. – MalaysiaGazette