KUALA LUMPUR – Selepas hampir dua bulan hukuman gantung ke atas warga Malaysia, Nagaentharan Dharmalinggam, pagi ini seorang lagi rakyat negara ini dihukum gantung sampai mati pukul 7 pagi tadi di Singapura.
Kalwant Singh yang ketika ini berusia 32 berasal dari Cameron Highlands, Pahang dijatuhkan hukuman gantung tujuh tahun lalu dan menerima hukuman itu hari ini.
Turut difahamkan Kalwant akan menjalani hukuman itu bersama seorang lagi individu secara berasingan.
Semalam, Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir Kalwant yang diwakili peguam, Too Xing Jo dan hukuman gantung itu tetap dijalankan mengikut jadual asal.
Kalwant memfailkan usul kepada Mahkamah Rayuan Singapura bagi menangguhkan hukuman serta melakukan semakan terhadap sabitan dan hukumannya.
Kalwant ditangkap kerana memiliki 60.15 gram diamorphine dan mengedar 120.9 gram dadah jenis sama sekitar 2013 ketika usianya 23 tahun.
Kalwant sempat bertemu dengan keluarganya buat kali terakhir bulan lepas sebelum rayuannya didengar.
Media turut melaporkan kakak Kalwant, Sonia dan anak saudaranya, Kellvina cuba melawatnya awal bulan ini kerana tidak dapat bertemu sejak 2020 akibat pandemik Covid-19 selain faktor kewangan tetapi permintaan mereka ditolak.
Sebelum ini, pada 27 April lalu, Nagaentran yang turut tergolong dalam kategori OKU dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah mengedar mengedar 42.72g heroin pada 2009 ke Singapura.
Walaupun kes Nagaenthran mendapat petisyen serta rayuan pelbagai badan kemanusiaan termasuk rayuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob namun hukuman gantung itu tetap muktamad. – MalaysiaGazette