
JOHOR BAHRU – Beberapa inisiatif akan dilaksana dan dipertingkat dalam menambah baik serta melancarkan pergerakan rentas sempadan di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bil.1/2025 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof di Kuala Lumpur, kelmarin.
“Dalam mesyuarat ini, beberapa perkara penting telah dibincangkan dan memerlukan perhatian segera, antaranya pelaksanaan sistem kod QR untuk lorong kereta di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) serta penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap bas kilang yang mengambil penumpang secara tidak terkawal.
“Begitu juga akan dilakukan penyusunan semula syif pegawai imigresen bagi meningkatkan kecekapan kaunter manual dan pembukaan laluan pejalan kaki dari Jalan Lingkaran Dalam ke laluan bas masuk BSI bagi memudahkan pergerakan pengguna.
“Inisiatif ini juga termasuk penggantian infrastruktur uzur seperti lif, eskalator dan travelator untuk meningkatkan kemudahan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) BSI,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir Ts Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan kelancaran pergerakan rentas sempadan ketika ini menjadi semakin kritikal.
Disebabkan itu katanya, pelaksanaan inisiatif serta projek naik taraf itu amat penting bagi memastikan negara bersedia menampung jumlah pengembara yang semakin meningkat, dianggarkan kini 500,000 keluar masuk setiap hari.
Onn Hafiz memberitahu, sehingga kini sebanyak RM58.07 juta diperuntukkan untuk 16 projek pembangunan fizikal di CIQ BSI dan KSAB telah dilaksanakan.
Jelasnya, projek-projek itu bertujuan melancarkan pergerakan rentas sempadan, sekali gus memperkukuh imej negeri dan negara sebagai salah satu pintu masuk utama tersibuk di Malaysia. – MalaysiaGazette