Home Nasional Thaipusam: KTM Komuter beroperasi tanpa henti 8-10 Feb.

Thaipusam: KTM Komuter beroperasi tanpa henti 8-10 Feb.

Khair Johari Ishak (dua kanan) dan Pengurus Besar Jabatan Operasi, S. Mahendran (kanan) bergambar dalam KTM Komuter yang akan beroperasi 24 jam sehari pada 8 hingga 10 Februari ini. foto ADIB AIMAN ROSLI, 6 FEBRUARI 2017.

GOMBAK – Tren KTM Komuter akan beroperasi 24 jam selama tiga hari ke Batu Caves sempena sambutan Thaipusam, bermula 8 Februari hingga 10 Februari ini.

Pengurus Besar Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTM) (Perkhidmatan Komuter), Khair Johari Ishak berkata, waktu operasi tren terakhir akan dilanjutkan selepas waktu perkhidmatan biasa dengan menyediakan tren tambahan antara pukul 12 tengah malam hingga 5.30 pagi.

“Perkhidmatan ini disediakan bagi memberi kemudahan pengangkutan yang lebih cepat kepada orang ramai, khasnya penganut agama Hindu dan para pelancong untuk ke Batu Caves.

“Jumlah keseluruhan perkhidmatan tren komuter yang akan disediakan untuk tempoh tiga hari dua malam itu adaah sebanyak 623 perkhidmatan.

“Manakala, bagi memastikan kelancaran operasi dan keselamatan penumpang, seramai 500 kakitangan KTM Berhad dijadualkan bertugas sepanjang tempoh itu yang terdiri daripada kakitangan operasi, pemandu tren dan polis bantuan,” katanya pada sidang media hari ini.

Perkhidmatan tersebut membabitkan 15 stesen yang antaranya ialah stesen Rawang, Batu Caves, Kajang, KL Sentral dan Seremban.

Mengulas lanjut, Khair berkata, pengguna pengangkutan awam itu akan menikmati insentif menarik daripada KTM atas sokongan berterusan mereka kepada syarikat itu.

“Diskaun tambang sehingga 20 peratus untuk pembelian tiket dewasa bagi perjalanan dua hala ke Stesen Batu Caves pada 8 hingga 11 Februari ini.

“Tambang konsesi sedia ada sebanyak 50 peratus untuk warga emas, OKU, pelajar serta kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun dan percuma untuk kanak-kanak bawah  tahun,” katanya.

Selain itu, KTM turut menyediakan perhidmatan terus untuk laluan Pelabuhan Klang, Rawang, Seremban ke Batu Caves melalui stesen perantara pada 8 hingga 10 Februari, bermula 10.30 malam hingga 5.30 pagi.

Sementara itu, KTM Komuter menjalin kerjasama strategik dengan perkhidmatan GrabCar pada hari ini.

Menerusi kerjasama itu, orang ramai yang menggunakan KTM Komuter untuk ke Stesen Batu Caves pada Rabu hingga Jumaat ini akan diberikan diskaun sebanyak RM8 daripada tambang perjalanan apabila mereka menggunakan perkhidmatan GrabCar untuk ke mana-mana stesen komuter.

“Diskaun ini hanya terhad untuk 1,000 pengguna GrabCar melibatkan dua kali perjalanan sahaja dan pembayaran perlu dibuat menerusi debit atau kad kredit sahaja,” katanya.

“Dengan perkhidmatan khas kali ini, kami menjangkakan pengguna Komuter bertambah lebih daripada 500,000 menerusi penambahbaikan perkhidmatan Komuter dan kerjasama intergrasi dengan RapidKL bersempena operasi tanpa henti selama tiga hari untuk Thaipusam kali ini.

“Tahun lepas seramai 500,000 pengguna menggunakan perkhidmatan ini sepanjang sambutan Thaipusam 2016,” katanya. – MalaysiaGazette