Home Politik Sikap dominan PPBM punca masalah agihan kerusi

Sikap dominan PPBM punca masalah agihan kerusi

Dr Jeniri Amir
Dr Jeniri Amir

KUALA LUMPUR – Pengagihan kerusi dalam parti politik perlulah melibatkan pertimbangan hasil kajian daripada akar umbi, bukan hanya menerusi persepsi pemimpin semata-mata, kata penganalisis politik, Profesor Madya Dr Jeniri Amir.

Jelas beliau khususnya dalam Pakatan Harapan, semua komponen parti perlu saling bertolak-ansur, dalam masa yang sama tidak menyimpan niat untuk menguasai kerusi terbanyak tanpa mengira prinsip kerjasama.

“Dalam konteks ini perundingan tolak ansur dan pengorbanan amat penting dalam agihan kerusi ini kerana isu ini penting dan sensitif.

“Mana-mana parti tidak seharusnya membolot. Segala keputusan harus berlandaskan dapatan kajian secara saintifik daripada akar umbi, bukan sekadar persepsi dan pandangan pemimpin yang mengatakan kebolehmenangan kepada mana-mana calon yang dikehendaki,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai masalah pembahagian kerusi yang berlaku di Selangor.

Masalah pengagihan kerusi dalam Pakatan Harapan itu diakui oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Jeneri menyifatkan masalah yang dihadapi oleh gabungan pembangkang pada masa ini jelas berpunca daripada sikap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang kelihatan lebih dominan berbanding yang lain.

“PPBM di bawah kepimpinan Tun M dilihat kini jadi dominan daripada yang lain apabila ia menerima 52 kerusi (Parlimen), bilangan yang sebelum ini tidak pernh diraih oleh mana-mana parti komponen pembangkang itu.

“Persoalannya sekarang adakah suara Tun M ini terlalu dominan hingga yang lain akur dengan PPBM, adakah Tun M masih lagi menjadi Tun M sewaktu menjadi Perdana Menteri dulu?,” tambah beliau.

Menurutnya lagi, jika Pakatan Harapan gagal menyelesaikan isu kerusi, ia bukan sahaja akan menjejaskan keyakinan rakyat, malah akan terus memburukkan imej Pakatan Harapan sebagai sebuah parti yang sentiasa dirunding kemelut dalaman.

“Ini suatu yang tidak baik untuk baik dalam komunikasi politik. Mereka sepatutnya harus memberi gamabran dan imej yang baik kepada rakyat bahawa mereka parti stabil, tidak ada krisis.

“Bagaimana pengundi mahu meletakkan kepercayaan jika mereka  gagal menyelesaikan masalah dan ia juga memberi bayangan bagaimana pula jika mereka memerintah nanti. Ini yang sepatutnya perlu dipertimbangkan oleh pemimpin,” ujar Jeneri.

Untuk rekod, bukan Selangor sahaja yang gagal memuktamadkan isu kerusi, tetapi PPBM Negeri Sembilan juga mendesak rundingan kerusi dilakukan semula kerana tidak berpuas hati dengan keputusan sebelum ini.-MalaysiaGazette