Home Seni Hidup Sevendays muncul dengan Memori

Sevendays muncul dengan Memori

Sevendays kini muncul dengan single pertama berjudul Memori.

KUALA LUMPUR – Suara program Rentak Juara 2017, Sevendays, kini muncul dengan single sulung mereka berjudul Memori.

Single tersebut merupakan ciptaan bersama Freddy Hyperact dan komposer hangat masakini, Hang Nadim yang terkenal dengan lagu-lagu hit ciptaannya sebelum ini seperti Potret (Akim & The Majistret), Warkah Untukku (Ara AF) dan Bunga” (Ara Johari).

Sevendays kini merupakan anak didik bintang rock, Akim Ahmad yang turut bertindak sebagai Penerbit Eksekutif bagi single tersebut.

Kumpulan Sevendays yang ditubuhkan pada tahun 2013 ini merupakan kumpulan sahabat akrab yang dianggotai oleh Kamarul Bin Gamari atau Arul (Vokal), Muhammad Yusri Bin Ibrahim atau Boy (Gitar), Muhamad Haffendi Bin Madris atau Manja (Dram) dan Mohammad Tuah Bin Johari atau Tuah (Bass).

Nama Sevendays mula mendapat perhatian ramai apabila berjaya menambat hati para juri dan penonton menerusi muzik pop rock dan rock alternatif yang dipersembahkan mereka di pentas Rentak Juara 2017 iaitu pertandingan pencarian bakat band baru yang dianjurkan oleh RTM awal tahun lalu.

Seringkali mendapat pujian juri di atas permainan alat muzik yang baik, persembahan bertenaga serta karisma mereka, Sevendays kini giat mempromosikan single sulung mereka itu dan baru-baru ini menjadi artis jemputan program Mega Hot’ Hot fm.

Memori kini semakin mendapat tempat di stesen-stesen radio tempatan dan minggu ini berjaya menembusi carta Era 40 di tangga #35.

Lagu itu juga bukan sahaja mendapat tempat di radio malah turut tersenarai di dalam senarai main perkhidmatan striming muzik popular seperti Yonder Music dan Raku.

Memori tergolong dalan senarai Pop Terkini 40 Yonder Music yang turut membariskan lagu-lagu terhangat tahun 2017 seperti Pematah Hati (Nabila Razali) dan Yang Terindah (Achey).

Selain itu, Memori turut tersenarai di dalam beberapa senarai main utama Raku termasuk Lagu Paling Popular 2017, Top Top 50 dan Lagu Baru serta Padu Masa Kini.

Memori diterbitkan secara usahasama di antara Nova Music dan Rhythm & Rhyme Entertainment, syarikat rakaman milik Akim Ahmad. – MalaysiaGazette