Home Utama Amah Indonesia mangsa dera meninggal dunia

Amah Indonesia mangsa dera meninggal dunia

PULAU PINANG – Pembantu rumah warga Indonesia yang diselamatkan petang semalam selepas dipercayai didera majikannya di sebuah rumah di Taman Kota Permai 2, Bukit Mertajam di sini meninggal dunia petang ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd. Hamid yang memaklumkan mangsa meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam (HBM) kira-kira pukul 4.45 petang tadi.

Difahamkan, hasil bedah siasat awal mendapati kematian mangsa yang dikenali sebagai Adelina, 21, itu adalah disebabkan sesak nafas.

Petang semalam, polis menyelamatkan amah berkenaan hasil laporan orang awam selepas melihat mangsa dalam keadaan lemah terbiar di luar sebuah rumah.

Ketika diselamatkan, mangsa juga dikesan mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan termasuk ada luka yang bernanah dan dibawa ke HBM untuk rawatan lanjut.

Siasatan awal juga mendapati mangsa yang baru beberapa bulan bekerja di rumah itu turut dibiarkan tidur di luar rumah bersama anjing selain tidak diberikan makanan.

Sehubungan itu, polis menahan dua beradik masing-masing wanita dan lelaki berumur 36 dan 39 tahun yang dipercayai majikan pembantu rumah berkenaan selepas mereka hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT untuk memberi keterangan pukulĀ  8 malam semalam.

Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Amah Indonesia trauma dipercayai didera majikan