KUALA LUMPUR – Sebuah pengedar Proton yang telah lama beroperasi melabur sebanyak RM4 juta untuk menaik taraf menjadi pusat 4S susulan keyakinan tingginya terhadap masa depan kereta nasional itu selepas pengeluar kereta terkenal China Zhejiang Geely Holdings Group (Geely) menjadi rakan kongsi strategik dalam pengeluar kereta pertama Malaysia itu.
Datuk Shamshudin Nor, pengasas Pantai Bharu Holdings berkata, Proton akan dapat mengekalkan 50 peratus bahagian pasaran dengan teknologi baharu daripada Geely, sebuah kumpulan automotif multinasional.
Keyakinan beliau itu, katanya, disandarkan kepada reputasi Geely sebagai sebuah jenama global serta pindahan teknologi ke Malaysia dan syarikat itu telah pun melabur bagi bangunan baharu untuk pusat 4S tersebut.
Shamshudin berkata, beliau yakin dengan masa depan Proton kerana Geely mempunyai segalanya untuk mengeluarkan kereta dengan reka bentuk yang baik bagi pengeluaran besar-besaran selepas melawat ke kilang syarikat itu di Shanghai baru-baru ini.
Syarikat induk Proton, DRB-Hicom Bhd dan Geely memeterai perjanjian tahun lepas di mana Geely membeli 49.9 peratus pegangan dalam pengeluar kereta nasional itu.
Shamshudin berkata, beliau telah melihat sendiri operasi Geely dan menyedari hasil kerja dan ciri-ciri teknologi auto syarikat itu jelas dapat dilihat dalam Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) baharu Proton.
SUV itu, sama seperti kereta Geely, menawarkan pemanduan yang selesa dan pengendalian yang baik serta gearbox responsif apabila menukar gear, yang mana merupakan antara ciri-ciri menarik yang ditawarkan.
“Proton akan dapat menawarkan kepada pelanggan pelbagai jajaran model,? kata Shamsudin, yang dianggap sebagai antara pengedar utama kereta Proton, memulakan perniagaannya sejak 1978 dengan mengedarkan pelbagai kereta jenama lain dan kemudiannya kereta nasional.
“Apabila kita melihat kereta China, reka bentuk, kerangka badan, tempat duduk yang cantik, yang boleh diterima oleh pengguna, rasanya jenama Proton akan okay pada masa depan,” katanya
Beliau yang kagum dengan komitmen Geely untuk memulihkan Proton semasa kunjungannya itu berkata, para pengedar akan dapat menjual beberapa ratus unit kereta sebulan.
Menurutnya, pusat 4S itu dan bengkel akan menawarkan khidmat servis, termasuk pejabat jualan, perkhidmatan selepas jualan, jualan alat-alat ganti dan perkhidmatan mengecat badan kereta.
Shamshudin, yang merupakan antara pengedar utama Proton yang dibawa melawat ke kilang Geely itu berkata: “Kita perlu mempunyai standard dan kualiti yang setanding atau lebih baik berbanding kereta-kereta lain untuk bersaing.
“Perkhidmatan selepas jualan sangat penting.
“Kami yakin dengan kualiti dan jaminan tetapi harga tidak boleh terlalu tinggi, memandangkan persaingan sengit daripada kereta-kereta lain, termasuk jenama berharga kompetitif lain dari China,” katanya.
Beliau berkata pengedar Proton perlu telus berkaitan dengan jualan, vendor perlu mengikut harga pasaran dan tidak sepatutnya ada kos tambahan.
Di China, beliau melihat bahawa vendor menawarkan harga menarik kepada pengeluar kereta.
Sementara itu, anak perempuannya, Rabitah Shamshudin, berkata: “Geely adalah nama yang disegani di China dan juga global, itulah sebabnya mengapa ia akan menjadi satu kelebihan sekiranya ciri-ciri keselamatan Volvo dipasang ke dalam kereta Proton (dan) itulah apa yang kami harapkan.”
Rabitah, yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Pantai Bharu Holdings, berkata: “Dengan perkongsian strategik baharu Proton-Geely ini mengeluarkan kereta berkualiti, sudah sampai masanya untuk membina jenama dengan lebih banyak kereta Proton bergerak di jalan raya.
“Pakatan auto Global, berkongsi teknologi adalah satu cara untuk melangkah kehadapan terutamanya bagi Proton untuk mengurangkan kos, meningkatkan kualiti, margin dan merebut bahagian pasaran yang lebih besar,” katanya. – MalaysiaGazette