TONGA – Taufan Gita yang digeruni di Kepulauan Pasifik dijangka membadai Tonga dengan kelajuan hampir 370 kilometer sejam.
AFP melaporkan, ini menyebabkan pihak berkuasa Tonga terpaksa mengisytiharkan perintah darurat berikutan taufan kuat akan melanda negara kepualuan Pasifik itu selepas membadai negara jirannya, Samoa.
Sebelum ini, Gita telah membadai Samoa dengan kelajuan 220 kilometer sejam dan dilaporkan semakin kuat dan sedang menghala ke timur pulau paling ramai penduduk di Tongatapu, Tonga ketika ini.
Perkhidmatan Meteorologi Fiji meramalkan ia akan berubah kepada ribut tahap maksimum iaitu kategori lima sebelum sampai ke Tonga lewat malam ini waktu tempatan.
Pihak berkuasa juga telah mengeluarkan amaran kepada para penduduknya untuk berjaga-jaga memandangkan kemusnahan kali ini mungkin di luar jangkaan dan ‘menggerunkan’.
Kementerian Penerangan Tonga berkata, pusat pemindahan sedang disediakan di seluruh negara itu dan penduduk dinasihatkan agar mengelakkan sebarang perjalanan yang tidak penting.
Ribut taufan Gita telah membadai Samoa pada Jumaat lepas, memaksa lebih 200 penduduk berpindah selain menyebabkan banjir dan bekalan elektrik terputus.
Fenomena ribut taufan adalah sesuatu yang biasa di Pasifik pada ketika ini namun kali ia dikuatiri akan membawa kepada kemusnahan yang lebih teruk.
Taufan Winston yang melanda Pasifik telah menyebabkan 44 orang terbunuh di Fiji pada 2016 dan Taufan Pam meragut 11 nyawa dan memusnahkan 65,000 kediaman di Vanuatu pada 2015. – MalaysiaGazette