Home Dunia Penemuan bom Perang Dunia Kedua cetus kebimbangan

Penemuan bom Perang Dunia Kedua cetus kebimbangan

LONDON – Gara-gara penemuan sebutir bom dipercayai dari Perang Dunia Kedua berhampiran Sungai Thames, pihak berkuasa Lapangan Terbang London City di tutup untuk sementara sejak malam tadi.

BBC melaporkan, bom tersebut ditemui ketika kerja-kerja pengerudian di lapangan terbang tersebut dilakukan pada jam lima petang waktu tempatan semalam sehingga menyebabkan keadaan sedikit tidak terkawal.

Bom tersebut ditemui di Jeti Raja George V kira-kira beberapa meter dari landasan lapangan terbang di tengah bandaraya London itu.

Dalam satu kenyataan lapangan terbang London City, ketika ini pihak berkuasa berada dalam langkah berjaga-jaga sehingga diberitahu kelak.

“Ketika ini, demi keselamatan orang awam, kita telah mengambil langkah untuk menutup sementara bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini. Lapangan terbang juga kita tutup untuk sementara waktu.

“Buat masa ini sehingga diberitahu kelak, adalah lebih baik untuk orang awam tidak berurusan berdekatan dan dalam kawasan lapangan terbang.

“Semua penumpang yang dijadualkan menaiki penerbangan dari lapangan terbang ini dinasihatkan untuk menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan keterangan lanjut kerana ada sedikit perubahaan dalam perjalanan,” kata kenyataan tersebut.

Lapangan Terbang London City mengendalikan penerbangan jarak dekat dan terletak di bahagian timur London, berdekatan dengan kawasan perniagaan Canary Wharf.

Bom yang belum meletup itu dipercayai telah digugurkan dari jet pejuang di London semasa serangan yang dilancarkan Angkatan Tentera Udara Jerman ke atas Britain antara bulan September 1940 dengan Mei 1941.