Home Nasional Harga barang meningkat kerana Dr Mahathir ubah dasar – Pas Selangor

Harga barang meningkat kerana Dr Mahathir ubah dasar – Pas Selangor

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasbullah Ridzwan menyalahkan perubahan dasar yang dilaksanakan semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai punca harga barang meningkat dan membebankan rakyat sekarang ini.

Hasbullah berkata, harga barang asasi meningkat kerana dasar kerajaan semasa zaman Dr Mahathir yang menggantikan pertanian kepada perindustrian dan memberikan kesan sehingga negara terpaksa mengimport barang asasi.

“Hari ini rakyat merana kerana harga barang meningkat, harga barang asasi kita meningkat sebab apa?. Sebab perubahan dasar negara di zaman Dr Mahathir daripada kita sebuah negara yang kaya dengan hasil pertanian, kita berubah kepada dasar perindustrian.

“Akhirnya apa jadi tuan-tuan, 30 peratus barang makanan asasi negara kita kena import, ini yang menyebabkan harga barang kita naik hari ini… bawang nak kena import, beras yang menjadi makanan asasi kita kena import, sebab apa sebab kita berubah dasar,” beliau dalam sesi penerangan diadakan di Keramat AU1 semalam.

Jelas beliau, perubahan dasar tersebut merugikan rakyat dan menyebabkan ia terpaksa diwarisi oleh rakyat sekarang ini.

“Ini lah orang yang membuat dasar dan akhirnya merugikan rakyat, akhirnya kita mewarisi,” katanya.

Beliau juga tidak yakin dan percaya dengan janji Dr Mahathir yang kononnya mahu melakukan perubahan dasar sekiranya terpilih menjadi Perdana Menteri semula, malah perjuangan sebenarnya bukan untuk menyelamatkan rakyat tetapi mahu menjatuhkan individu yang tidak disukainya sahaja.

“Orang yang hidup mati dia di hujung usia, itu lah sistem yang dia bawa, macam mana nak selamatkan rakyat.

“Mereka bukan nak selamatkan rakyat, tapi mereka hanya mahu turunkan orang yang dia tak suka… itu sahaja, tapi sistem dan dasar mustahil, dia yang cipta dasar itu dia nak runtuhkan dasar dia balik,” katanya. – MalaysiaGazette