Home Nasional Dihina ‘lanun’, NGO Bugis berhimpun 16 Feb ini

Dihina ‘lanun’, NGO Bugis berhimpun 16 Feb ini

Pengerusi Persekutuan Melayu Bugis Semalaysia, Raja Kamarudin Raja Abdul Wahid sambil diiringi Setiausaha Persekutuan Melayu Bugis Semalaysia, Baharin Tahir bergambar kenangan bersama ahli-ahli jawatankuasa dan perwakilan Persekutuan Melayu Bugis Semalaysia pada sidang akhbar sempena program Himpunan Karnival Solidariti Rakyat Melayu Bugis 1Malaysia yang akan diadakan pada 16 dan 17 Februari ini di Bilik Mesyuarat, Restoren Riverside PWTC, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 12 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Ekoran penghinaan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang didakwa menghina bangsa Bugis dengan tuduhan lanun – sebuah NGO akan mengadakan satu himpunan bagi membantah dan memperbetulkan fakta berhubung keturunan berkenaan pada 16 Februari ini.

Penganjur himpunan, Persekutuan Melayu Bugis Semalaysia akan mengadakan Himpunan Karnival Solidariti Rakyat Melayu Bugis selama dua hari bertempat di Stadium Mini Titiwangsa.

Mereka turut menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke himpunan tersebut.

Pengerusinya, Raja Kamarudin Raja Abdul Wahid juga berharap perhimpunan yang sama dapat merapatkan silaturahim sesama masyarakat Bugis seluruh negara disamping menerangkan fakta sejarah yang tidak betul berhubung latar belakang keturunan itu.

“Matlamat program ini tak lain tak bukan kita ikut daripada perlembagaan kita iaitu silaturahim kerana banyak organisasi lain pun turut mengadakan perhimpunan, jadi saya tergerak kenapa tidak dihimpunkan rakyat Bugis seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Disamping itu, kita mahu mengingatkan generasi baharu ini dan lama, kegemilangan masyarakat Bugis ini dimana saya rasa program ini dapat menimbulkan semangat, maruah dan harga diri,” ujarnya dalam sidang media hari ini.

Menurut Raja Kamarudin, pihaknya juga menolak dakwaan mengatakan Bugis adalah lanun sebaliknya memaklumkan keturunan Bugis sudah ada sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi.

“Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi sudah ada orang Melayu Bugis sehingga hari ini kita faham betapa kuatnya peranan masyarakat Bugis di Sulawesi Selatan

“Jadi apabila ada pihak mengatakan Bugis itu lanun, saya rasa tidak berkenan… ini sudah lari daripada fakta jadi ini sebab kita perlu adakan himpunan untuk buktikan dan mempamerkan sejarah negara sewaktu himpunan nanti,” tegasnya.

Beliau turut membidas tindakan Mahathir yang mengaitkan Bugis sebagai ‘lanun’ dan menyifatkan ia satu penghinaan kepada Sultan Melayu dan keturunan Bugis.

“Kita bukan lanun, ini salah, ini satu kenyataan mengaibkan dan menghina kaum Bugis.

“Sampai di Indonesia, Timbalan Presiden Jusof Kalla tersinggung, Sultan Johor tersinggung, Sultan Selangor tersinggung, jadi kita bangkit hari ini.

“Isu politik jangan dikaitkan dengan orang Bugis, nak berpolitik politik lah, jangan cakap Bugis lanun… ini tidak tahu dimana otak dia letak,” katanya.

Dijangka sekitar 5,000 orang ramai akan menghadiri himpunan tersebut dengan pelbagai aktiviti akan dijalankan sepanjang karnival dua hari itu.

Kontroversi tercetus tahun lalu apabila ucapannya Mahathir menyebut bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mungkin berasal dari ‘lanun’ Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke tempat asalnya. – MalaysiaGazette