PULAU PINANG – Konsulat Indonesia di Pulau Pinang sedang mengesan keluarga pembantu rumah, Adelina Lisao, 26, yang mati akibat dipercayai didera majikannya di Taman Kota Permai 2, Bukit Mertajam di sini semalam.
Wakilnya, Neni Kurniati berkata, sehingga kini, ahli keluarga wanita berkenaan belum mengetahui nasib yang menimpanya kerana lokasi sebenar rumah keluarganya di negara berkenaan masih gagal dikesan.
Ujar beliau, berdasarkan alamat yang tertera pada pasport, mangsa dipercayai berasal dari Nusa Tenggara Timur, Indonesia.
“Mayat Adelina akan dibawa pulang ke kampung halamannya selepas semua urusan bedah siasat serta dokumentasi oleh pihak polis dan hospital selesai.
“Bagaimanapun, sehingga kini, kita belum berjaya mengesan rumah keluarganya di Indonesia,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya di sini hari ini.
Semalam, Adelina meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam di sini kira-kira pukul 4.45 petang semalam selepas diselamatkan dari rumah majikannya petang kelmarin.
Ketika diselamatkan, Adelina dibiarkan berada di luar rumah selain mengalami beberapa kecederaan di bahagian kaki dan tangan dengan ada luka yang bernanah dipercayai akibat terkena minyak panas.
Berdasarkan laporan saksi, mangsa turut dibiarkan tidur di luar rumah bersama anjing lebih sebulan lalu selain tidak diberikan makanan mencukupi.
Dalam pada itu, Neni berkata, pihaknya sehingga kini juga belum medapat laporan penuh kecederaan yang dialami mangsa sama ada daripada pihak polis atau hospital.
Tambahnya, daripada maklumat awal, pihaknya difahamkan mangsa pernah datang bekerja di negara ini sebelum ini selain sudah bekerja dengan majikannya itu sejak Disember 2014.
Ditanya sama ada mangsa pernah membuat aduan didera sebelum ini, beliau berkata, pihaknya tidak pernah menerima laporan tersebut meskipun Adelina bekerja di sini menerusi ejen yang sah.- MalaysiaGazette
Amah Indonesia mangsa dera meninggal dunia