Home Politik BR1M: Kerajaan padam budaya kroni zaman Dr M – Anina

BR1M: Kerajaan padam budaya kroni zaman Dr M – Anina

KUALA LUMPUR – Kerajaan berjaya memadamkan budaya kroni yang berleluasa semasa zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dengan langkah memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kata Anina Saadudin.

Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin bercakap pada sidang media mengenai saman fitnah atas tuduhan menerima RM7 juta dari UMNO di Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 13 OKTOBER 2017

Bekas pengasas Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, langkah berani tersebut berjaya menidakkan tuduhan selama ini kononnya kerajaan mementingkan kroni dan ia memastikan hasil kekayaan negara dipulangkan kembali kepada rakyat.

“Hasil kekayaan negara dipulangkan kepada rakyat melalui pelbagai cara yang mengambilkira kehendak dan keperluan setiap lapisan masyarakat.

“Diperkenalkan pada 2012, BR1M menjadi satu langkah yang paling berani pernah diambil kerajaan Malaysia, menidakkan tuduhan konon kerajaan memberi kekayaan hanya kepada kroni,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Mengimbau kembali istilah “kroni”, Anina mengungkit kisah Perhimpunan Agung UMNO pada 1998 apabila Dr Mahathir dikritik hebat kerana didakwa mengkayakan kroni beliau sahaja.

“Kronisma dan nepotisma pertama kali dialunkan di Perhimpunan Agong UMNO pada 18 Jun 1998 oleh Ketua Pemuda UMNO ketika itu, Datuk Seri Zahid Hamidi dan ianya disanggah oleh Tun Mahathir dalam ucapan penangguhan Presiden.

“Rentetan itu, rakyat mula bercakap tentang kekayaan kroni dan anak-anak Perdana Menteri Malaysia ke-4 tersebut. Isu kronisma ini dilaungkan dengan lebih dahsyat ketika era Reformasi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 1999,” katanya.

Menurut Anina, langkah kerajaan untuk memadamkan budaya kroni menyebabkan Dr Mahathir kini tidak senang duduk sehingga terpaksa menghina rakyat dengan perkataan ‘dedak’ hanya kerana menerima hasil kekayaan negara itu.

“Kerajaan kini berusaha memadamkan budaya “kroni” yang diamalkan oleh Tun Mahathir sebagai asas kekuatan kuasanya dahulu.

“Tidak mengejutkan apabila Tun Mahatir melabel BR1M sebagai dedak untuk menghina rakyat hanya kerana menerima pemberian tunai tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette