Ujar Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, walaupun beliau layak bertanding dan mampu memenangi kawasan itu dengan majoriti 10,800 undi, namun tiada jaminan beliau akan dilantik menjadi menteri.
“Walaupun Parlimen Sungai Besar melibatkan pertandingan tiga penjuru, saya yakin boleh menang, tapi selepas PRU14, saya pasti tidak akan mendapat jawatan menteri pun.
“Apa guna saya jadi Ahli Parlimen, tapi masih tidak boleh membawa pembangunan kepada masyarakat di Sungai Besar ini,” katanya dalam sesi soal jawab bersama pengamal media di sini, baru-baru ini.
Sabtu lalu, Jamal sedia memberikan laluan kepada Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar pada PRU14.
Beliau berkata, pembangunan di Parlimen Sungai Besar sukar dibawa kepada rakyat di kawasan luar bandar sekiranya hanya bergantung kepada peruntukan dana yang diberikan parti.
“Sukar bawa pembangunan dengan hanya peruntukan beberapa ringgit yang diberikan oleh parti, atau kerajaan untuk saya berikan kepada masyarakat di Sungai Besar ini.
“Jadi tak perlu saya nak jadi wakil rakyat ataupun Ahli Parlimen,” ujarnya.
Katanya, beliau akur bahawa masih ramai pemimpin UMNO pusat layak bertanding dan dilantik menjadi Menteri penuh selepas memenangi PRU14.
“Sebab itu saya nak bawa pembangunan ke Sungai Besar ini dengan cara membawa pemimpin yang boleh mendapat jawatan Menteri penuh di Sungai Besar.
“Mana ada ketua bahagian tidak mahu bertanding? Saya bukan nak mengejar keutamaan dan kepentingan peribadi, tetapi mengutamakan masyarakat, kesejahteraan dan pembangunan setempat,” katanya.
Tambahnya, penyandang Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi tidak dipinggirkan malah beliau diperlukan untuk memimpin Selangor sebagai Menteri Besar jika BN berjaya menawan Selangor semula.
“Kita tidak melihat lagi siapakah calon-calon yang disukai dan popular dalam Selangor. Nak jadi calon Menteri Besar mestilah jadi wakil rakyat di peringkat DUN.
“Beliau boleh dilantik menjadi Senator dan diberikan jawatan-jawatan lain. Tapi kalau bertanding di Parlimen, harapan kami di Sungai Besar ini untuk melihat seorang lagi pemimpin dari Sungai Besar ini untuk jadi Menteri Besar terkubur.
“Saya melihat dari kaca mata peribadi saya dan rakan-rakan, beliau mampu untuk menjadi calon Menteri Besar,” katanya. – MalaysiaGazette