Home Politik Kit Siang sedia ‘kerjasama’ dengan Pas

Kit Siang sedia ‘kerjasama’ dengan Pas

Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Dalam kecoh-kecoh menafikan dakwaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dirinya anti Islam, Lim Kit Siang kini bersedia bekerjasama semula dengan Presiden Pas.

Pemimpin veteran DAP itu mengundang dan Abdul Hadi melalui program meja bulat Selamatkan Malaysia anjuran partinya di Kelab Bukit Utama esok.

Malah beliau juga bersetuju dengan pendekatan politik matang – slogan yang dibawa oleh Pas selepas keluar Pakatan Rakyat.

Selain pembangkang, Kit Siang juga menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dan kesemua pemimpin politik Barisan Nasional menyertainya sekali.

“Saya setuju dan bersedia bekerjasama dengan Najib, Hadi dan semua pemimpin BN atas nama melawan rasuah dan harap mereka dapat datang bersama-sama,” katanya dalam video di media sosial DAP hari ini.

Mengenai politik matang, Ahli Parlimen Gelang Patah itu juga berharap persidangan meja bulat itu menjadi ujian pertama kepada konsep berkenaan dilaksanakan.

Beliau juga menafikan dirinya anti Islam, anti Melayu dan sikap sedemikian katanya hanya akan menjadikan negara semakin teruk.

Malah beliau mengakui dalam pengalaman politik dan usianya yang sudah menjangkau 76 tahun itu beliau mahu melihat Malaysia akan menjadi negara yang hebat pada masa depan.

Kepelbagaian budaya, agama dan fahaman sebenarnya aset dan bukan liabiliti kepada negara, katanya.

Kenyataan Kit Siang itu bagaimanapun sudah pasti menimbulkan rasa sangsi kepada parti politik lawan terutama BN dan Pas dan mungkin menganggapnya satu ‘perangkap’ kerana perubahan nada secara mendadak pemimpin DAP itu.

Sebelum itu, Kit Siang dikatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Abdul Hadi kerana mendakwanya anti Islam dan konsisten mengkritik Najib atas pelbagai dakwaan kesilapan dalam tata kelola kerajaan.-MalaysiaGazette