KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak wajar mendiamkan diri daripada tampil membuat sebarang pencerahan membabitkan isu National Feedlot Corporation (NFC).
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu seolah-olah tidak berani tampil membuat pencerahan mengenai isu itu yang cuba dikitar semula oleh pembangkang.
“Sebab itu, alasan Ketua Penerangan PPBM (Datuk Kamaruddin Mohd Nor) supaya Muhyiddin tidak tampil buat kenyataan adalah tidak logik.
“Kalau pembangkang sendiri suka mengitar cerita lama, kenapa perlu ada pilih kasih, iaitu enggan membuat pencerahan sedangkan ketika itu beliau menyandang jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
“Justeru, Muhyiddin dan pembangkang bukanlah sebenarnya pejuang ketelusan. Mereka adalah pakar manipulasi terhadap sesuatu isu mengikut selera kepentingan politik mereka,” katanya dipetik sebagai berkata.
Puad mendakwa, Muhyiddin lebih mengutamakan pembohongan pembangkang dan mengelak untuk memalukan rakan pembangkang jika tampil membuat pencerahan isu berkenaan.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, dalam catatan di blog rasminya pada 21 November 2011 mendakwa:
“Siapa lagi selain Muhyiddin yang patut dipertanggungjawabkan mengenai masalah NFC, di mana objektif projek ini adalah perusahaan ternakan lembu bagi memacu penghasilan daging negara yang mapan,” tulisnya.
Kit Siang turut pernah mendesak supaya Muhyiddin dipanggil PAC bagi merungkai masalah dialami NFC.
NFC adalah syarikat milik Agroscience Industries Sdn Bhd dengan usaha sama kerajaan. – MalaysiaGazette