Home Sukan Juara Berbasikal ACC mahu sertai kejohanan dunia

Juara Berbasikal ACC mahu sertai kejohanan dunia

SEPANG, 14 Feb -- Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz (depan lima, kiri) menyambut kepulangan Ketua Penolong Setiausaha Dasar dan Pelaksanaan GST Bahagian Cukai Kementerian Kewangan Malaysia Dr Norhasmat Abdul Aziz (depan enam, kiri) selepas bergelar Juara Asia Kategori Individu 'Time Trial Men Master' Kejohanan Berbasikal Asia Ke-38 (ACC) di Nay Pyi Taw Myanmar sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.?--fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEPANG – Juara ujian masa Individu Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) Norhasmat Abdul Aziz berhasrat menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2018 bagi mengembangkan kariernya dalam acara berbasikal.

Katanya sebagai Juara Asia, beliau menyimpan sasaran untuk bersaing di peringkat lebih tinggi dan akan bertemu dengan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bagi menyemak status kelayakannya bagi menyertai pertandingan berprestij itu.

“Kejayaan ini memberi semangat kepada saya untuk bersaing di kejohanan dunia, namun keputusan akhir mengenai terletak di tangan PKBM,” katanya ketika ditemui pemberita sejurus tiba dari Myanmar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Ketibaan Norhasmat, yang juga seorang pegawai di Kementerian Kewangan, disambut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz serta beberapa kakitangan kementerian daripada Kelab Sukan Perbendaharaan.

Pada kejohanan di Nay Pyi Taw itu, Norhasmat, 43, muncul juara selepas menamatkan perlumbaan sejauh 36 kilometer dengan masa 46 minit 46.915 saat mengatasi pelumba Iran, Sayed Mehdi Mirbagheri Firoozabadi dan pelumba Mongolia, Purevsren Khuyagt.-BERNAMA

+ posts