KUALA LUMPUR – Isteri Peguam Negara Tan Sri Muhammad Apandi Ali baru-baru ini membuat laporan polis terhadap artikel Raja Petra Kamarudin yang mendakwa suaminya dipengaruhi oleh pihak luar dalam membuat keputusan.
Puan Sri Faridah Begum Abdullah dilaporkan membuat laporan di Balai Polis Desa Sri Hartamas dengan merujuk artikel yang disiarkan dalam sebuah portal.
Beliau yang enggan mengulas lanjut menyerahkan siasatan kepada polis.
Dalam pada itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa dipetik sebagai berkata, pihaknya kini sedang meneliti kes berkenaan.
“Kes ini dikendalikan oleh Unit Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, sementara siasatan dibuat mengikut Seksyen 500, Kanun Keseksaan kerana membabitkan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” katanya. -MalaysiaGazette