Home Nasional MCA mahu juarai komuniti Cina

MCA mahu juarai komuniti Cina

Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR – MCA mahu terus kekal menjadi juara dalam masyarakat Cina di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, parti itu tidak akan lelah untuk terus memberikan bantuan dan sokongan, baik dari segi akses kepada pendidikan berkualiti, pembaharuan kampung baru atau menggalakkan perniagaan berkembang.

Di peringkat antarabangsa, MCA dapat memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan diplomatik Malaysia-China, yang menyaksikan negara ini mendapat banyak manfaat daripada inisiatif One Belt One Road.

“Tahun 2018 adalah tahun penting bagi kita semua dan MCA berharap untuk terus mewakili dan berkhidmat kepada masyarakat Cina dalam kerajaan.

“Kami teguh terhadap tanggungjawab sebagai sebuah parti yang dibina berdasarkan nilai-nilai kesederhanaan, penerimaan, kerjasama dan kemajuan bersama.

“MCA percaya parti iniĀ  akan terus melakukan tanggungjawab untuk negara dan rakyat,” kata Tiong Lai dalam ucapannya sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Beliau berharap Tahun Baru Cina ini membawa permulaan baru dan peluang untuk mewujudkan masa depan yang cerah kepada negara selepas berjaya melaksanakan transformasi negara yang menyaksikan ekonomi domestik terus berkembang mantap, pengukuhan ringgit meningkatkan sentimen pelabur.

Malah, pelbagai projek pembinaan negara yang sedang berjalan rancak termasuk peningkatan infrastruktur pengangkutan, Malaysia berada di landasan untuk menjadi negara maju di pentas global. – MalaysiaGazette