Home Politik Veteran ATM jangan terpedaya politik kebencian

Veteran ATM jangan terpedaya politik kebencian

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bercakap ketika sesi sidang media pada Majlis Pelancaran Logo Perkasa Perwira di Wisma Perwira ATM, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Anggota keselamatan khususnya pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diingatkan tidak terpedaya dakwaan pembangkang yang menggunakan isu lama untuk menimbulkan kebencian rakyat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, politik kebencian menjadi alat pembangkang dengan tujuan supaya rakyat terus membenci kerajaan dengan memanipulasi isu keselamatan di Sabah.

“Ada manusia yang tiada perancangan, dengan pemikiran rakus dan cetek, matlamat menghalalkan cara, sanggup melakukan apa sahaja menuduh tentera laut kita mempunyai kapal selam yang tak boleh selam.

“Mereka kata ramai anggota kita terbunuh di bumi Sabah merupakan satu sandiwara.

“Dibunuh dengan kejam, pipi dikikis, mata dicungkil, kepala dipancung, memperalat dan menggunakan perkara-perkara lama,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Logo Perkasa Perwira di Wisma Perwira ATM hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membuat gimik perasmian sambil diiringi Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Raja Mohamed Affandi pada Majlis Pelancaran Logo Perkasa Perwira di Wisma Perwira ATM, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 FEBRUARI 2018

Hadir sama, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Hishammuddin selaku Menteri Tugas-Tugas Khas juga berkata, kerjasama dan hubungan diplomatik yang baik antara Malaysia-China juga dimanipulasikan pembangkang dengan tuduhan tidak berasas.

“Sekarang ini dia kata kita nak jual maruah kita kepada China. Orang politik ini memang adat resam (kena serang). Tapi bila dia perlekehkan tentera laut kita, dengan meningkatkan hubungan negara kita dengan China.

“Kerajaan China beritahu saya, bab-bab aset ketenteraan ini cukup sensitif, dia (China) tak akan kongsi, lebih-lebih lagi dengan negara-negara jiran. Barangkali satu hari nanti kita guna kapal selam dia untuk perang dengan dia,” ulasnya.

Katanya lagi, tanpa hubungan baik lebih-lebih dalam soal pertahanan negara, Malaysia tidak mungkin akan mendapat tawaran terbaik dalam soal pembelian empat kapal Littoral Mission Ships (LMS) dari kerajaan China.

“Tetapi hubungan diplomasi pertahanan mengizinkan kita untuk dapat tawaran terbaik.

“Saya mahu orang tentera laut tolong saya, cerita kepada mereka, jangan perlekeh tentera laut kerana kita ada matlamat, kita ada impian untuk memastikan tentera laut Malaysia adalah antara terbaik di dunia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.