Home Utama Hishammuddin nafi ramai veteran ATM ‘berpaling tadah’

Hishammuddin nafi ramai veteran ATM ‘berpaling tadah’

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bercakap ketika sesi sidang media pada Majlis Pelancaran Logo Perkasa Perwira di Wisma Perwira ATM, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPURĀ – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan dakwaan ramai pesara dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini lebih cenderung menyokong parti pembangkang.

Beliau berkata, dakwaan itu tidak berasas malah kebanyakan golongan veteran itu masih menyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) susulan kebajikan mereka terjaga khususnya soal kos sara hidup dan pemilikan rumah mampu milik.

“Ia merupakan dakwaan, saya tengok majoriti veteran ATM bersama-sama kita. Maklumlah dalam jumlah besar, mesti ada mereka yang tak puas hati.

“Tetapi kita akan terus berusaha dan perkara ini bukan suatu yang kita baru nak bela sekarang, banyak perkara kita sudah bela veteran kita.

“Agenda pendidikan, perkhidmatan, pembinaan rumah khusus ada kaitan dengan veteran,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Logo Perkasa Perwira di Wisma Perwira ATM hari ini.

Hishammuddin berkata, dakwaan itu cuba mengaburi mata rakyat dengan kemarahan dan sebab-sebab tertentu sedangkan keadaan tidak menggambarkan hakikat sebenar tahap sokongan majoriti pesara ATM.

“Agenda perumahan kita lancarkan ini pun ada kaitan dengan veteran. Kalau mereka ada masalah dengan dialisis, kosnya di hospital swasta kalau tiga kali seminggu mungkin lebih RM600 tapi dia dapat percuma.

“Kita cari dan baik pulih rumah mereka, pendidikan untuk anak dan cucu veteran. Adakah itu bukan pembelaan untuk veteran kita?” soalnya.

Katanya lagi, tanpa veteran ATM, tidak mungkin negara boleh mencapai kemerdekaan dan keamanan sehingga ke hari ini.

“Kita beri jaminan kepimpinan ATM sentiasa mengenang jasa mereka. Kita nak bantu mereka pun mesti ada had dan batasannya.

“Buat masa ini, kita akan bantu berperingkat-peringkat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.