Home Politik Rayu derma: Propaganda murahan Tun M

Rayu derma: Propaganda murahan Tun M

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam satu rakaman video tular di laman sosial Youtube yang merayu orang ramai menghulurkan sumbangan untuk perjuangan menjatuhkan kerajaan kleptokrasi.

KUALA LUMPUR – Video Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merayu derma orang ramai untuk perjuangan partinya dilihat cuba mengalihkan perhatian rakyat terhadap kekayaan anak-anaknya.

Pengerusi Gabungan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar menyifatkan tindakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sebagai propaganda murahan untuk menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Tindakan mutakhir oleh Tun Mahathir ini dilihat sebagai satu usaha menarik simpati rakyat Malaysia untuk mengundi PPBM. Namun rakyat bijak membaca taktik ini dan tidak sesekali terpedaya dengan permainan politik murahan sebegini.

“Harus diingat penggunaan jet persendirian oleh Tun Mahathir turut dilihat bahawa PPBM tidak memerlukan bantuan kewangan daripada rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar. foto HAZROL ZAINAL, 27 JULAI 2017.

Beliau mengulas rakaman video Mahathir berdurasi dua minit 45 saat dimuat naik di laman sosial Youtube semalam yang merayu orang ramai memberikan sumbangan kepada PPBM untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrasi.

Selain Mahathir, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut terpampang merayu kepada orang dalam rakaman video berkenaan.

Zulkarnain juga berkata, umum mengetahui melalui terbitan Forbes bagi keluaran 2017 anak Mahathir, Mokhzani merupakan tujuh individu Melayu terkaya di Malaysia.

“Mokhzani menduduki tempat ke-34 individu terkaya bagi seluruh rakyat Malaysia dengan nilai harta USD420 juta ataupun RM1.7 billion.

“Ini tidak termasuk Mirzan Mahathir yang juga bekas ahli lembaga pengarah arak terbesar di filipina iaitu Sun Miguel.

“Persoalan yang timbul sekarang sehingga menjadi perdebatan umum bagaimana anak-anak Tun boleh menjadi kaya sebegini,” dedahnya.

Bagaimanapun Zulkarnain menggesa Mahathir agar menghulur bantuan kepada ibu tunggal, anak yatim dan pelajar miskin menggunakan kekayaan anak-anaknya.

“Beliau tidak sepatutnya membuat retorik kononnya meminta sumbangan derma untuk membantu PPBM bagi menumbangkan kerajaan sedia ada, sedangkan anak-anaknya mempunyai kekayaan luar biasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette