LANGKAWI – Satu peruntukan khas Amanah Saham Malaysia (ASM) untuk kaum India yang berada di bawah kategori B40 akan dilancarkan pada akhir bulan ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara berkenaan berkata, sejumlah RM500 juta akan disediakan di bawah skim berkenaan.
“Kita hadkan 5,000 (unit) saham setiap individu supaya masyarakat India ini dapat pembelaan sewajarnya,” katanya semasa berucap pada program teh tarik santai bersama kira-kira 1,000 masyarakat India di sini, hari ini.
Inisiatif pelaburan saham sebelum ini diumumkan perdana menteri semasa pembentangan Bajet 2018, 27 Okt tahun lalu.
Selain skim pelaburan ASM, kerajaan dalam Bajet 2018 turut mengumumkan inisiatif baharu menerusi pengagihan khas sejumlah 1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia, yang dihadkan kepada 30,000 unit setiap pelabur yang telah mula diagihkan pada 29 Jan lepas.
Najib berkata ini hanya sebahagian program yang direncanakan kerajaan dan masih banyak lagi program lain yang sedang dirancang untuk menambah baik kualiti hidup masyarakat India di negara ini. – MalaysiaGazette