KUALA LUMPUR – Selepas jualan besar-besaran pada minggu sebelumnya, pelabur asing telah meningkatkan pendedahan mereka dalam bursa tempatan menjelang cuti Tahun Baru Cina pada minggu lalu.
Berdasarkan data awal dari Bursa Malaysia, jumlah belian bersih oleh pelabur asing selama 3.5 hari dagangan minggu lalu adalah sebanyak RM4.50 juta – jumlah terkecil yang dibeli dalam masa seminggu setakat tahun ini.
MIDF Research dalam analisis pasaran mingguannya berkata, dana-dana asing adalah pembeli bersih dalam semua hari dagangan kecuali Isnin yang menyaksikan penurunan sebanyak RM230.3 juta.
Pelabur asing membuat belian tertinggi pada hari Selasa sebanyak RM112.7 juta dengan nilai dagangan melepasi RM1.5 bilion, tertinggi dalam tempoh empat hari.
Rabu lalu, FBM KLCI ditutup pada paras tertinggi selama empat hari iaitu dengan 1,835 mata susulan prestasi ekonomi Malaysia yang merekodkan pertumbuhan ekonomi 5.9 peratus pada tahun lalu, kata MIDF.
Walau bagaimanapun, pembelian asing hanya merekodkan sebanyak RM62.4 juta, yang kedua paling rendah berikutan pelabur asing cemas dengan data inflasi Amerika Syarikat.
Firma penyelidikan itu berkata, pembelian asing terus menurun kepada RM59.7 juta bersih sehari sebelum menjelang Tahun Baru Cina.
Setakat ini, pelabur asing telah membuat belian sebanyak RM1.86 bilion dalam tempoh tujuh minggu dalam tahun 2018, lebih tinggi daripada RM1.11 bilion yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.
Walaupun nilai purata dagangan harian (ADTV) merosot sebanyak 35 peratus daripada RM1.61 bilion pada minggu sebelumnya kepada RM1.04 bilion minggu lalu, penyertaan pelabur asing adalah baik mengambil kira minggu dagangan pendek dan dagangan separuh hari pada Khamis lalu. – MalaysiaGazette