Home Politik Difitnah beli ahli PPBM, Chegubard lapor polis

Difitnah beli ahli PPBM, Chegubard lapor polis

Badrulhisham Shaharin atau Chegubard (tengah) menunjukkan laporan polis pada sidang media mengenai fitnah yang dibuat ke atas beliau dan keluarga ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) kerana cubaan beli Ahli Parti Bunga Raya di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 19 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Bekas ahli seumur hidup PKR, Badrul Hisham Shaharin membuat laporan polis hari ini susulan fitnah yang tersebar di media sosial mendakwa beliau dan isterinya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terlibat dalam membeli ahli Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk keluar parti tersebut.

Badrul Hisham atau dikenali Chegubard membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Polis Dang Wangi dan menyerahkan salinan fitnah tersebar di media sosial yang didakwa untuk menjatuhkan imejnya kerana lantang mendedahkan korupsi melibatkan pimpinan PPBM.

“Sehari dua ini tersebar dengan luas di media sosial berita fitnah ke atas saya dan keluarga konon isteri saya ditahan SPRM kerana menyogok atau membeli ahli parti bunga raya.

“Sangat menjengkelkan fitnah ini disebar secara terancang malah ada yang sanggup membeli iklan di media sosial untuk menyebar luaskan posting fitnah mereka,” katanya semasa sidang media selepas membuat laporan polis di Dang Wangi.

Beliau mendakwa fitnah tersebut disebarkan dalam laman-laman Facebook pro kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga dalam kumpulan WhatsApp pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Fitnah ini disebarkan dalam laman Facebook yang pro kepada Tun Mahathir, melucukan ia disebarkan dalam Kelab CheDet, Mahathir The Legend dan turut disebarkan dalam kumpulan WhatsApp seperti Invoke sendiri serta pimpinan Pakatan,” katanya lagi.

Menurut pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu lagi, fitnah tersebut disebarkan kerana tidak berpuas hati susulan tindakannya yang lantang mendedahkan korupsi melibatkan kroni Dr Mahathir, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kumpulan kartelnya.

“Fitnah ini dibuat sangat jelas kerana berpunca daripada pendedahan korupsi yang lakukan terhadap Dr Mahathir dan kartel-kartel Azmin,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Badrul Hisham berkata tidak akan berhenti daripada membuat pendedahan korupsi melibatkan pemimpin Pakatan walaupun mereka menggunakan taktik kotor dengan membuat fitnah terhadap dirinya.

“Saya berjanji sama sekali tidak akan berhenti membongkar penyelewengan rasuah korupsi tanpa mengira siapa pelakunya,” katanya lagi.

Badrul Hisham juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat fitnah yang dibuat terhadap beliau.

Terdahulu, PPBM membuat gesaan kepada SPRM untuk mengesahkan dan mendedahkan butiran siasatan seorang individu yang dikatakan ditahan kerana cuba menyogok ahli PPBM keluar parti.

Peguam parti, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, sejak tangkapan itu didedahkan 5 Februari lalu, SPRM belum membuat kenyataan tentang perkembangan kes itu.

Haniff sebelum ini memberi tempoh 48 jam kepada SPRM untuk mendedahkan individu yang didakwa ditahan kerana cuba menyogok pemimpin serta ahli PPBM meninggalkan parti itu.

Pada 5 Februari lalu, Ketua Wanita PPBM Rina Mohd Harun mendakwa ada pihak menawarkan imbuhan kepada seorang ahli untuk mengadakan sidang media memburukkan parti itu. – MalaysiaGazette