PHILADELPHIA – China menuntut hukuman berat dikenakan ke atas seorang lelaki yang didakwa mencuri ibu jari patung pahlawan terracotta yang dipamerkan di Amerika Syarikat.
Patung berusia 2,000 tahun yang bernilai AS$4.5 juta adalah salah satu daripada 10 patung yang dipinjamkan kepada Institut Franklin di Philadelphia.
Minggu lepas, Michael Rohana didakwa mencuri dan menyembunyikan karya seni besar tetapi kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.
Tentera Terracotta adalah salah satu penemuan arkeologi China yang paling penting.
Mengikut dokumen mahkamah, Rohana, 24, menghadiri Parti Sweater Ugly di Institut Franklin pada 21 Disember dan kemudian masuk ke pameran Terracotta Warriors yang sudah pun ditutup.
Rohana didakwa menggunakan lampu telefon bimbit untuk menyuluh dan berswafoto dengan salah satu patung pahlawan, menurut media negara China Xinhua, yang memetik laporan Biro Siasatan Persekutuan.
Dia kemudiannya meletakkan tangannya di sebelah kiri patung itu dan kelihatan memecahkan sesuatu dari situ. Dia memasukkan barang dalam poketnya dan berjalan keluar.
Pekerja muzium menyedari ibu jari hilang pada 8 Januari dan FBI kemudian mengesan Rohana.
Suspek mengakui telah menyimpan ibu jari patung tersebut di dalam laci meja.
Isnin lalu, pengarah Pusat Promosi Warisan Kebudayaan Shaanxi, organisasi pemerintah yang meminjamkan patung-patung itu “mengutuk” Institut Franklin kerana cuai menjaga patung-patung tersebut.
“Kami meminta agar Amerika Syarikat menghukum pelaku. Kami telah membuat protes yang serius terhadap mereka,” kata Wu Haiyun.
Wu berkata, pusat itu akan menghantar dua pakar ke Amerika Syarikat untuk menilai kerosakan dan membaiki ibu jari patung tersebut, selain akan menuntut ganti rugi.
Patung-patung itu dibina oleh Maharaja China, Qin Shi Huang, yang meninggal pada tahun 210 sebelum Masihi dan yang percaya patung-patung itu akan melindungi.
Binaan patung-patung itu ditemui di bandar Xi’an, China pada tahun 1974 oleh sekumpulan petani China. – MalaysiaGazette