Home Utama Pengurus FELDA perlu pantas jawab tohmahan pembangkang

Pengurus FELDA perlu pantas jawab tohmahan pembangkang

BANGI – Semua pengurus di setiap rancangan FELDA disaran agar menjawab isu-isu tidak tepat yang dibawa oleh pembangkang di kawasan masing-masing.

Langkah itu perlu dilakukan bagi mengelak penularan berita-berita negatif melibatkan tanah rancangan yang langsung tidak membantu memajukan agensi itu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim.

Pembangkang tidak peduli dengan fakta ketika menimbulkan sesuatu isu sebaliknya ia hanya mementingkan apa sahaja bentuk yang boleh menguntungkan mereka, dakwanya.

“Menjawab itu tidak perlu mengadakan sidang akhbar. Kalau ramai diviralkan gambar kawasan tak terurus, mereka (pengurus) tunjuklah kawasan kita yang kemas dan cantik itu. Tiap-tiap tahun kita bagi anugerah kawasan-kawasan yang menang.

“Jadi, saya harap mereka yang bertugas peringkat bawah ini kongsi video ataupun cerita-cerita yang positif,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Jawatankuasa Permuafakatan Produktiviti dan Kualiti (JPPK) Felda 2018 di sini hari ini.

Razali berkata, landskap politik yang kini sudah berubah menyebabkan sesuatu isu itu perlu dijawab segera dan ia memerlukan gerak kerja yang progresif.

“Kita tak boleh guna kaedah lama dalam memberi penerangan. Hari ini kita kena beri penerangan dan kita kena jawab serangan yang dibuat oleh pembangkang dan kita masih boleh pertingkatkan lagi,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai agenda pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14, Razali yang merupakan menteri yang bertanggungjawab terhadap FELDA berkata, pembangkang akan bertindak lebih agresif dengan memainkan sentimen kononnya masyarakat FELDA sudah menolak kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, ia merupakan propaganda yang sering digunakan oleh pembangkang setiap kali pilihan raya umum.

Perkara itu katanya, berjaya digunakan oleh pembangkang apabila BN tewas di tujuh kawasan FELDA pada PRU-13.

“Harapan dan doa saya agar warnga FELDA dapat memberikan sokongan kerana mereka lebih tahu apa yang sedang berlaku di kawasan rancangan,” katanya lagi.

Terdahulu, dalam ucapannya, Razali berkata, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad sering menggunakan fakta yang salah setiap kali membicarakan perkara-perkara berkaitan FELDA.

Perkara tersebut berlaku kerana bekas perdana menteri paling lama itu tidak pernah ambil tahu isu-isu yang berlaku di FELDA semasa pemerintahannya.

Pada majlis yang sama, seramai 818 orang peserta yang terdiri daripada 303 orang pengurus FELDA, 177 orang pengurus FELDA Technoplant, 70 orang wakil peneroka, 58 pengurus kilang terlibat dalam seminar tersebut yang berlangsung selama tiga hari.

Seminar diadakan bagi membincangkan aktiviti-aktiviti yang boleh dijalankan bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan semua pihak serta membincangkan isu-isu berkaitan yang timbul dalam rancangan atau kilang Felda Global Ventures. – MalaysiaGazette