Home Politik PH akui tak mampu tunai manifesto

PH akui tak mampu tunai manifesto

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media di Menara Yayasan Selangor, Selangor. foto IMRAN FAKHRI, 20 FEBRUARI 2018.

PETALING JAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui Pakatan Harapan (PH) tidak akan mampu menunaikan semua manifesto parti itu jika berjaya menjadi kerajaan kelak.

Justeru Pengerusi PH itu berkata parti tersebut terpaksa membuat pindaan terhadap semua manifestonya mengikut kemampuan mereka.

Setakat ini parti itu menyiapkan sebanyak 60 janji-janjinya yang akan digunakan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

“Jadi, kita sedang membuat pindaan-pindaan kepada manifesto supaya kita dapat laksanakan segala janji-janji kita.

“Kita sudah membuat 60 janji-janji dan kita harap kita akan dapat laksanakan walaupun mungkin tidak seperti yang diharapkan oleh rakyat tetapi kita tentukan keupayaan kita untuk melaksanakan sesuatu kita sedar bahawa tindakan Datuk Seri Najib meletakkan kerajaan dalam keadaan kekurangan kewangan kerana kita perlu bayar hutang dan sebagainya.

“Kita akan membuat janji setakat yang kita mampu sahaja dan kita akan mengeluarkan manifesto ini tidak lama lagi,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini.

Beliau dalam pada itu menjelaskan PH tidak akan terikat dengan mana-mana janji yang disuarakan oleh pemimpin parti itu atas kapasiti individu.

“Kita sedar bahawa sebelum kita menyiapkan manifesto ramai juga daripada pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang telah buat kenyataan tertentu.

“Kita tidak terikat dengan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin tertentu jika kita dapati kenyataannya tidak dapat dilaksanakan oleh kita apabila kita menerajui kerajaan,” tambahnya. -MalaysiaGazette