Home Utama 95% PERMATApintar pilih bidang STEM

95% PERMATApintar pilih bidang STEM

Sebahagian pelajar PERMATApintar yang mengikuti program Hari Kerjaya di Pusat PERMATApintar Negara UKM Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 21 FEBRUARI 2018.

BANGI – Pusat PERMATApintar Negara (PERMATApintar) berjaya melahirkan 579 pelajar yang kini sedang melanjutkan pendidikan pada peringkat Sarjana Muda hingga Doktor Falsafah di universiti luar dan dalam negara.

Dr. Noriah Mohd Ishak

Pengarahnya, Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak berkata, 95 peratus daripada jumlah tersebut memilih bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Pencapaian itu seiring dengan matlamat PERMATApintar yang mahu menyambut cabaran Revolusi Perindustrian Keempat atau Industri 4.0.

“Kita menekankan subjek STEM di sini, yang mana tahap kursus lebih tinggi daripada sekolah biasa dalam usaha mewujudkan lebih banyak saintis pada masa depan.

“Ini adalah untuk keperluan Industri 4.0, jadi kita galakkan pelajar-pelajar ceburi,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Hari Kerjaya Pusat PERMATApintar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Biarpun begitu, PERMATApintar tidak mengenepikan pendidikan dalam sains sosial.

“Sudah tentu kita tidak lupakan bidang sains sosial seperti undang-undang, arkitek dan sebagainya kerana ada pelajar yang minat. Apa yang kita buat adalah mendidik pelajar-pelajar itu untuk berfikir sebagai seorang saintis,” tambahnya.

Hari Kerjaya Pusat PERMATApintar, merupakan program yang keempat dijalankan sejak tahun 2014.

Sempena program itu, beberapa syarikat korporat turut dijemput untuk memberikan taklimat tentang penajaan.
– MalaysiaGazette