Home Ekonomi GM labur AS$2.8b selamatkan subsidiari Korea

GM labur AS$2.8b selamatkan subsidiari Korea

SEOUL- General Motors (GM) mencadangkan pelaburan baharu sebanyak AS$2.8 bilion di Korea Selatan dalam tempoh lebih 10 tahun akan datang sebagai sebahagian pelan penstrukturan semula anak syarikatnya di Korea, demikian menurut pegawai kanan kerajaan Korea Selatan.

Sumber berkata, pembuat kereta daripada Amerika Syarikat itu meminta Korea Selatan untuk menyuntik dana ke dalam GM Korea, yang mana sebahagian daripada pegangan di dalam syarikat berkenaan dipegang oleh bank milik kerajaan.

Tawaran tersebut hadir selepas pembuat kereta dari Detroit dan kerajaan Korea Selatan berbincang mengenai penstrukturan semula syarikat rugi, GM Korea, salah sebuah anak syarikat GM terbesar di luar negara.

Bagaimanapun, sumber berkata, kerajaan masih perlu meneliti cadangan GM sebelum membuat keputusan sama ada pelan pelaburan itu mencukupi untuk menyelamatkan GM Korea yang memiliki 16,000 pekerja.

“Kami perlu membuat penelitian mendalam menerusi audit,” kata pegawai berkenaan,

Menteri Perdagangan Korea Selatan, Paik Un-gyu berkata, kerajaan telah meminta satu audit dilakukan ke atas pengurusan GM Korea selepas General Motors membuat keputusan untuk menutup kilang mereka di Seoul.

Menurut Paik, wang rakyat tidak boleh dibazirkan melalui usaha kerajaan untuk menyelamatkan GM.

GM yang berpangkalan di Detroit sebelum ini pernah mengumumkan penutupan kilangnya di Gunsan, Seoul dan sedang mempertimbangkan nasib tiga lagi kilangnya di Korea Selatan.-MalaysiaGazette