KUALA LUMPUR – “Kalau di bandar sahaja ceria tetapi penduduk hampa, tiada gunanya. Tiada makna juga jika infrastruktur kota pesat dengan projek mega, tetapi infrastruktur perumahan Taman Fadason tidak dipedulikan,”.
Itu luahan hati 1,080 keluarga rumah kos rendah Mutiara Fadason, Kepong hari ini yang mendakwa mereka dinafikan hak menikmati kemudahan infrastruktur yang selesa selama ini.
Zaimah Mohd Noordin, 52, mendakwa mereka berdepan masalah serius jaringan jalan raya dan kerosakan lif sejak 15 tahun lalu.
Beliau mendakwa 80 peratus jalan raya dan tempat letak kereta di hadapan flat Fadason rosak teruk sehingga terbentuk lubang sedalam 6 inci dengan kelebaran 4 meter.
“Keadaan jalan yang berlubang itu mengancam nyawa penduduk khususnya kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga emas pada musim hujan lebat.
“Pernah berlaku beberapa insiden kanak-kanak dan warga emas terjatuh dalam lubang yang ditakungi air banjir selain kereta juga rosak dan terpaksa dihantar ke bengkel untuk dibaiki tiga hingga empat kali setahun.
“Kami sudah mengadu kepada jawatankuasa penduduk yang bertanggungjawab tetapi mereka pun tidak dapat menangani isu ini.
“Kebiasaannya wakil rakyat yang dipilih akan melawat penduduk dan mendengar masalah mereka di kawasan Parlimen masing-masing setiap hujung minggu. Bagi kami ia tinggal sekadar mimpi sejak 15 tahun lalu,” keluh beliau kepada pemberita ketika ditemui di sini.
Sementara itu, seorang lagi penduduk warga emas, Eddy Wong, 60, mendakwa beliau yang menetap di Mutiara Fadason lebih 14 tahun selain kerosakan jalan raya, kegagalan lif berfungsi lebih 10 tahun juga memberi kesan kepada aktiviti harian penduduk.
“Setiap hari kebanyakan penduduk di sini terpaksa turun naik 18 tingkat menggunakan tangga kerana lif tidak berfungsi.
“Jawatankuasa penduduk sini pun pernah beberapa kali membaikinya namun kembali rosak dalam tempoh singkat kerana peralatannya sudah tamat tempoh,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Wong Ho Hock, 53, yang kecewa dengan situasi yang menyelubungi kawasan perumahannya mendesak keprihatinan dan tindakan segera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Kami hampa dengan lambaian palsu wakil rakyat yang masih tidak membantu menangani masalah kami di sini.
“Malangnya harapan kami tinggal mimpi sahaja kerana tertipu dengan lambaian menghampakan wakil rakyat di sini.
“Ini keselamatan penduduk khususnya kanak-kanak dan warga emas di sini berjalan kaki di jalan berlubang ini, kecuaian boleh mengeruhkan lagi keadaan di sini,” katanya.
Dalam pada itu Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kepong, Datuk Farizan Ali berkata, beliau terkejut melihat keadaan infrastruktur yang kritikal melibatkan penduduk Taman Fadason.
“Saya akan merujuk perkara ini kepada Datuk Bandar DBKL dan juga Ketua Kampung KL, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
“Dalam masa terdekat ini saya mahu membawa mereka melihat sendiri kehidupan penduduk di sini dan mengambil tindakan penambahbaikan segera,” katanya. – MalaysiaGazette