Home Nasional Hanifa pertahan video lucah, hina Namewee dikesali – GAUM

Hanifa pertahan video lucah, hina Namewee dikesali – GAUM

Datuk Zulkarnain Mahdar
Pengerusi Penaja Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Datuk Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPURĀ – Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) berasa kesal dengan tindakan pemimpin Parti Amanah Negara (PAN), Hanifa Maidin yang mempertahankan tindakan Namewee menghasilkan video berunsur lucah serta menghina umat Islam dan kepimpinan negara.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, tuduhan Hanifa kononnya pihak berkuasa cuba menghalang Namewee berkarya adalah jelas sebagai tuduhan dangkal dan cubaan mewujudkan presepsi salah dalam kalangan rakyat.

“Kerajaan sebenarnya sentiasa menyokong industri perfileman negara dan menggalakkan seluruh rakyat berkarya melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) termasuk Finas.

“Tetapi bukannya melalui video berunsur lucah dan menghina seperti yang diterbitkan oleh Namewee tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkarnain juga bertanyakan Hanifa sama ada beliau bersetuju bahawa perbuatan lakonan lucah serta tidak senonoh seperti adengan sepasang lelaki di awal video Namewee atau sebaliknya.

“Harus diingat ini bukan kali pertama Namewee menerbitkan video kontroversi, sebelum ini Namewee juga pernah menerbitkan video menghina lagu Negara Ku apabila mengubahnya dengan lagu Negara kuku,” katanya.

Beliau berkata, walaupun umat Islam tidak menghalang sambutan Tahun Baharu Cina, namun tindakan Namewee membuat video bertajuk ‘Like A Dog’ sedikit sebanyak dilihat cuba memutar belit perayaan tahun anjing.

“Adakah Namewee tidak merasa bersalah apabila memasukkan adengan sepasang lelaki yang memakai topeng anjing melakukan perbuatan tidak senonoh di awal video tersebut.

“Harus diingat umat Islam dan anak-anak muda turut melihat video tersebut. Apakah mesej yang cuba disampaikan oleh Namewee kepada rakyat Malaysia berbilang kaum di mana majoritinya beragama Islam di Malaysia ini?” katanya.

Katanya, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) digesa bertindak tegas terhadap penghinaan berulang menerusi siri video penghinaan umat Islam dan pemimpin negara yang dilakukan oleh Namewee ini.

“Pihak Polis diminta mengambil tindakan tegas untuk membawa Namewee ke muka pengadilan.

“Pihak keselamatan juga seharusnya sentiasa mengawasi keadaan berhampiran kawasan Pusat Pentadbiran Putrajaya agar tindakan yang dilakukan oleh Namewee ini tidak berulang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette