KUALA LUMPUR – Bola sepak negara kehilangan seorang lagi lagenda apabila bekas penjaga gol utama kebangsaan era 80an, Chow Chee Keong meninggal dunia pagi tadi.
Berita sedih tersebut diumumkan sendiri oleh anaknya, Adrian Chow melalui satu muat naik di laman Facebook miliknya.
Menerusi status itu, Adrian memberitahu bapanya telah berjuang sehabis mungkin untuk kekal bersama mereka, namun menghembuskan nafas terakhir sekitar 8.08 pagi.
Chee Keong meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya.
Mendiang merupakan pemain bola sepak profesional pertama negara dan pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik Asia sebanyak lima kali berturut-turut oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di antara tahun 1966 sehingga 1970.
Sepanjang melibatkan diri di dalam bola sepak, Chee Keong turut pernah beraksi di England bersama Bedford Town dan juga mencipta nama bersama beberapa kelab di Hong Kong.
Antara pasukan yang pernah diwakili oleh Chee Keong ialah HK Rangers, South China dan juga Tung Sing. Chee Keong merupakan penjaga gol utama negara pada awal 1980an.
Kehebatan Chee Keong di hadapan gawang pada era kegemilangannya, menyebabkan mendiang digelar sebagai Asian Steel Gate oleh komuniti bola sepak di Asia.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mengumumkan kematian Chow Chee Keong di laman Facebook rasmi milik badan bola sepak negara itu sebentar tadi. – MalaysiaGazette