KAJANG – Gara-gara mahu menjual kamera curi jenis SLR Nikon D800 menerusi laman sesawang beli belah dalam talian, seorang lelaki bersama dua rakannya ditangkap pihak polis kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kes samun ke atas jurufoto MalaysiaGazette, Muhammad Affan Fauzi, 21.
Paparan gambar-gambar set kamera tersebut di laman sesawang itu disedari oleh seorang jurufoto yang kemudian bertindak memaklumkan kepada kumpulan jurufoto portal berita ini sebelum mereka merancang untuk menyamar sebagai pembeli.
Hasil perancangan teliti, suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an bersetuju untuk berurusniaga dengan menetapkan beberapa lokasi pertemuan bermula di Burger King Ampang pada pukul 2 petang, namun kelibat mereka tidak kelihatan.
Suspek kemudian menghubungi ‘bakal pembeli’ memaklumkan lokasi kedua iaitu di McDonald Leisure Cheras namun membuat perubahan sekali lagi iaitu di Petronas Bukit Dukung, Cheras sekitar pukul 4 petang tadi.
Hasil kesepakatan kumpulan jurufoto termasuk dari media arus perdana yang sanggup ‘turun padang’ melayan kerenah’ suspek, akhirnya niat suspek untuk meraih rezeki mudah hasil jenayah yang dilakukan kecundang.
Dua anggota polis dari IPD Sepang yang turut menyertai usaha tersebut bertindak pantas menahan suspek yang beberapa kali cuba melawan secara agresif selain berusaha meloloskan diri sehingga berlaku pergelutan.
Muhammad Affan yang turut serta dalam usaha tersebut ketika ditemui berkata, walaupun agak curiga dengan tindakan suspek yang menukar lokasi sebanyak tiga kali namun beliau mahu meneruskan usaha setelah melihat semangat rakan-rakan yang bersungguh-sungguh mahu membantu pasukan polis menangkap suspek.
“Walaupun tidak dapat semua iaitu komputer riba dan beberapa barang lain termasuk dokumen pengenalan diri dan lesen, tetapi saya saya lega dengan tertangkapnya suspek itu,” katanya ketika ditemui.
Jurufoto yang baru dua bulan menyertai MalaysiaGazette itu disamun Ahad lalu semasa dalam perjalanan dari Sepang ke Ampang dengan menaiki motosikal milik bapanya selepas membuat liputan berita di Sungai Pelek, Sepang.
Motorsikal yang ditungganginya kehabisan minyak dan suspek menawarkan diri membantunya menunda motosikal sehingga ke stesen petrol.
Bagaimanapun setibanya beliau di Lebuh Silikon Serdang, suspek tiba-tiba mengacukan parangnya dan memaksanya menyerahkan set kamera SLR Nikon D800, kanta telefoto dan kanta kamera serta telefon bimbit Huawei Nouva 2 Plus.
Turut disamun beg mengandungi komputer riba jenama Lenovo, serta dompet yang mengandungi kad debit Maybank, BSN dan Affin Bank, lesen memandu dan cukai jalan.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kesemua suspek dibawa ke IPD Sepang untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette
[…] Geng jurugambar tumpaskan penyamun […]