KUALA LUMPURÂ – Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan beberapa pihak yang mencabar Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya membuktikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berperlembagaan.
Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, segala urusan persempadanan semula itu mematuhi dan memenuhi segala prinsip serta prosedur yang ditetapkan dalam Perlembagaan.
“SPR sentiasa menghormati keputusan mahkamah walaupun di peringkat mana sekali pun ianya diputuskan.
“Keputusan tersebut satu pengiktirafan kehakiman berkaitan pembahagian kuasa antara eksekutif, perundangan dan kehakiman selaras dengan doktrin pengasingan kuasa yang menjadi amalan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mahkamah Persekutuan pada Isnin memutuskan cadangan SPR untuk melaksanakan urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh dipinda dengan semakan kehakiman.
Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata, tindakan SPR berhubung urusan persempadanan semula itu tidak mengikat mana-mana pihak dan oleh itu tidak boleh dipinda dengan semakan kehakiman.
Mahkamah Persekutuan menolak dua permohonan dikemukakan dua ahli Parlimen DAP dari Perak dan tujuh pengundi dari Melaka bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, yang tidak menyebelahi mereka berhubung semakan semula kehakiman.
Mohd Hashim juga berkata, SPR juga mengambil maklum keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini yang telah menolak rayuan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkaitan urusan Kajian Semula Persempadanan di negeri berkenaan.
“Walaubagaimanapun, SPR tidak dapat memberikan ulasan lanjut berkaitan keputusan kes itu memandangkan masih terdapat beberapa kes lain yang belum selesai di peringkat mahkamah tertinggi,” katanya.
Beliau berkata, SPR akan meneruskan kerja-kerja urusan Kajian Semula Persempadanan sehingga laporan akhir diserahkan kepada Perdana Menteri sepertimana termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Tanggungjawab SPR dalam urusan berkenaan akan selesai setelah laporan akhir diserahkan kepada Perdana Menteri.
“Manakala urusan pembentangan laporan tersebut di Dewan Rakyat, ianya adalah terpulang kepada budi bicara Perdana Menteri bila ia akan dibentangkan di Dewan Rakyat.
“Ini kerana ia bukan lagi di bawah bidang kuasa SPR,” katanya. – MalaysiaGazette